Sumber: Harian Metro
Bukit Jalil: “Tidak kira siapa yang bakal dipilih, mereka pasti mampu memberikan sumbangan terbaik untuk bola sepak negara,” kata Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal ketika diaju pertanyaan mengenai peluangnya memenangi pertarungan tiga penjuru bagi kerusi timbalan presiden pada Mesyuarat Kongres Pemilihan Ke-50 badan induk itu pada 25 Mei ini.
Walaupun dianggap calon pilihan mengisi salah satu daripada dua kerusi ditawarkan bagi penggal 2014-2018, Subahan masih belum mahu meramal mengenai nasibnya sebaliknya menganggap dua lagi calon, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad dan Naib Presiden FAM Datuk Seri Afandi turut mempunyai keinginan sama.
“Ini bukan soal misi, sejak dulu lagi apabila dipilih saya buat kerja, makan bola, tidur bola. Semua orang ada misi, tapi yang penting niat untuk menyumbang kepada bola sepak. Saya sama seperti orang lain, jika diberi peluang akan cuba melakukan yang terbaik.
“Bagi saya, yang penting kita nak bola sepak kita ke peringkat lebih tinggi dan saya yakin dengan adanya pembangunan yang kini giat dijalankan, dalam tempoh lima tahun, kita boleh menjadi pasukan kuat di Asia.
“Saya tak pernah terfikir soal ada peluang atau tidak. Saya cuma menawarkan diri untuk bertanding, kalau terpilih, Alhamdulillah. Yang penting kita perlu beri kepercayaan kepada perwakilan untuk menilai. Kita perlu hormati apa saja keputusan mereka,” kata Subahan yang juga Pengurus Pasukan Harimau Malaya.
Dua kerusi Timbalan Presiden kini menjadi rebutan selepas penyandang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa tidak bertanding kali ini.
Tengku Abdullah kali ini membuat keputusan untuk bertanding jawatan presiden selepas mendapat pencalonan ahli gabungan manakala Annuar tidak layak bertanding kerana masih menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM.
Sementara itu Subahan semalam merasmikan Bengkel Kejurulatihan Akar Umbi FIFA-FAM yang berlangsung selama seminggu membabitkan 31 jurulatih dalam usaha memantapkan pencarian dan pembentukan pemain muda di seluruh negara.
“Masa depan bola sepak negara di tangan pemain muda dan jurulatih ini penting kerana mereka akan turun padang mencari pemain dan menggilap pemain muda,” katanya.
No comments:
Post a Comment