Saturday, May 10, 2014

Kelantan masih mengharap


Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Kelantan masih belum berputus harap untuk menggunakan khidmat Prince Tagoe dalam baki saingan Liga Super musim ini, malah mereka yakin urusan berhubung Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) penyerang antarabangsa Ghana itu dapat diselesaikan dalam tempoh 48 jam.

Pengurus The Red Warriors, Azman Ibrahim turut menafikan laporan yang menyatakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu menggunakan kembali khidmat Obinna Nwaneri, sambil menegaskan urusan untuk mendapatkan ITC Tagoe masih dalam proses.



Bagaimanapun, dia mengakui wujud kemungkinan mereka tidak dapat menggunakan Tagoe musim ini, namun katanya, selagi Kafa tidak mendapat kata putus mengenai isu ITC, Azman masih optimis hajat penyokong Kelantan untuk melihat bekas pemain Ghana ke Piala Dunia 2010 itu beraksi akan dipenuhi.

“Permohonan ITC Tagoe sebenarnya masih berjalan dan kami belum membatalkan sebarang permohonan cuma pro­sesnya masih tergantung buat masa ini.

“Mengikut apa yang diperkatakan oleh ejen Tagoe, dia berjanji akan menyelesaikan perkara ini dengan mendapatkan ITC daripada Persa­tuan Bola Sepak Tunisia dalam tempoh 48 jam dan Tagoe boleh mewakili Kelantan selepas perlawanan dengan PKNS.

“Jika kami gagal mendapatkan ITC dalam tempoh empat minggu selepas tarikh didaftarkan dengan FAM iaitu pada 19 April lalu, barulah peluang mendapatkan Tagoe tertutup dan dari situ baru kami boleh pertimbangkan untuk menyenaraikan Obinna semula," katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn. Bhd (TRW), Kevin Ramalingam mendakwa kesilapan oleh Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM) menyebabkan Tagoe tidak dapat didaftarkan kerana gagal mendapatkan ITC daripada kelab lamanya, Club Africain.

Namun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menafikan perkara tersebut dan me­nyatakan mereka telah mengikut prosedur yang ditetapkan tetapi ditolak oleh Persatuan Bola Sepak Tunisia.

Masalah untuk mendapatkan ITC penyerang itu berpunca daripada tuntutan gaji tertunggak Tagoe de­ngan Club Africain yang dipercayai hampir RM1 juta.
Jika terpaksa mendaftarkan kembali Obinna, Azman mengakui ia satu kerugian buat Kelantan ke­rana kekurangan pilihan di barisan serangan namun mereka tiada pilihan lain.

“Memang kalau boleh kami mahu menggunakan Tagoe kerana buat masa ini Kelantan hanya mempunyai beberapa pemain yang boleh digunakan di barisan hadapan.

“Jika Obinna ada, nampaknya Kelantan mahu atau tidak terpaksa menggunakan dua pertahanan import seperti dilakukan beberapa pasukan lain seperti Pahang dan kami cuba sesuaikan diri dengan situasi berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...