Monday, May 19, 2014

Kontroversi Penyu

Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Kemenangan Terengganu ke atas LionsXII 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin mencetuskan kontroversi apabila wakil kelab dari Singapura itu mendakwa tuan rumah membuat empat pertukaran pemain.
Perkara itu dibangkitkan LionsXII selepas Terengganu bertindak menggugurkan nama Mohd Nor Farhan Muhammad dan menggantikan dengan Ahmad Nordin Alias daripada senarai pemain yang sudah ditandatangani oleh pegawai kedua-dua pasukan serta pegawai perlawanan.



Senarai baru pemain dalam perlawanan itu kemudian dikeluarkan lima minit sebelum sepak mula dan difahamkan, pertukaran Nor Farhan dan Ahmad Nordin sudah dikira sebagai pemain gantian sebaik saja senarai pemain sudah disahkan dan itu bermakna Terengganu hanya boleh membuat dua lagi pertukaran dalam permainan.

Namun dalam 90 minit perlawanan itu pula, jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim membuat tiga lagi pertukaran apabila menggantikan Mohd Ashaari Shamsuddin, Moustapha Dabo dan Ismail Faruqi Asha'ri dengan Mohd Fakhrurazi Musa, Mario Karlovic dan Nor Hakim Hassan.
Berdasarkan laporan laman web axrosstheline.com, pengurus LionsXII V Subramanian yang dihubungi berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kes itu.

“Kami fikir ada masalah dengan pertukaran pemain itu kerana pertukaran pemain yang dibuat selepas senarai pemain disahkan oleh kedua-dua pasukan sudah dikira. Tapi ketika dalam perlawanan mereka (Terengganu) membuat tiga pertukaran.

“Kami sudah melaporkan isu ini kepada komisioner perlawanan dan FAM,” katanya.
Sementara itu Arena Metro cuba mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (JKPT) Datuk Seri Afandi Hamzah berhubung isu itu namun beliau meminta masa untuk mengumpul maklumat terlebih dulu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...