Thursday, May 15, 2014

Jumpa Sidka

Sumber: Harian Metro
Kelana Jaya: Pengalaman Wolfgang Sidka mengendalikan skuad Iraq kini menarik perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjadikan jurulatih kelahiran Jerman itu antara calon melatih skuad Harimau Malaya.
Selepas enggan membuka mulut sebelum ini, akhirnya FAM mendedahkan mereka akan mengadakan perbincangan dengan Sidka dalam masa terdekat sekali gus menutup spekulasi mengaitkan bekas jurulatih Jerman Rudi Voller dengan jawatan itu.


Sidka, 59, pernah membimbing kelab Bundesliga Werder Bremen (1997-1998), skuad kebangsaan Bahrain (2000-2003) dan Iraq (2010-2011) namun tiada pencapaian yang cukup mengagumkan dicapai bekas pemain tengah itu selain memenangi Piala UEFA Intertoto dalam tahun terakhir bersama Bremen.

Menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, mereka akan mengadakan pertemuan dengan Sidka dan seorang lagi calon dari Sepanyol, Luis Milla Aspas dalam waktu terdekat selepas selesai menemuramah bekas jurulatih Mozambique Gert Engels, kelmarin.

“Memang benar, kita ada bertemu Engels. Kami masih dalam proses temu duga dan FAM masih lagi mengenalpasti seorang dua calon dalam sesi temu duga ini. Sidka calon terbaru yang berminat dengan jawatan ini. Kami akan menunggu kedatangannya dalam tempoh terdekat.

“Bagaimanapun, selepas melepasi saringan terakhir ini, nama calon akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco FAM untuk diluluskan,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan FAM kini dalam proses menilai tiga calon dari luar negara iaitu Engels, Aspas dan terbaru Sidka bagi mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan selepas kontrak Datuk K Rajagobal berakhir 31 Disember lalu.

Namun dua calon tempatan, jurulatih Harimau Muda A yang kini bertindak sebagai pengendali sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee dan jurulatih Polis Diraja Malaysia Dollah Salleh turut berada dalam senarai.

Pencarian pengendali itu berlarutan beberapa bulan lamanya selepas badan induk bola sepak tanah air itu gagal mendapatkan khidmat bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun Philippe Troussier atas alasan mereka tidak boleh melayan permintaan yang dianggap ‘tidak masuk akal’ calon pilihan itu.

Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM bakal berlangsung pada 25 Mei namun Hamidin menafikan kemungkinan FAM sekadar ‘tangkap muat’ mencari jurulatih dari luar kerana kesuntukan masa.

“Selepas kami tidak mendapat persetujuan dari Troussier, FAM memang sudah mengadakan pertemuan dengan ramai jurulatih import lain. Sesi temu duga ini berlaku di dalam dan luar negara. Cuma, kami hanya menunggu proses pemilihan saringan terakhir dalam hal ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...