Friday, May 23, 2014

Mansuh sahaja

Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memansuhkan Artikel 88 Statut FAM jika ia selari dengan perkembangan bola sepak masa kini.
Pandangan itu dilontar bekas naib presiden badan induk bola sepak tanah air itu Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang melihat perubahan perlu dilakukan dalam FAM supaya organisasi itu mengamalkan sikap keterbukaan.

“FAM tertakluk kepada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), tapi kalau tiba masanya saya setuju,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Bola Sepak - Pro & Kontra semalam.

Beliau menegaskan pandangannya itu bukanlah didorong sentimen pernah dihukum gantung tiga tahun oleh FAM kerana melanggar Artikel 88 pada 1991 sebaliknya menganggap sebarang pindaan ataupun pembubaran peraturan perlu dilakukan jika ia memberi kebaikan bersama.
“Bukan setuju sebab saya pernah digantung, tidak. Kalau tanya saya dari segi peraturan, ia tidak perlu diubah tapi jika melihat senario bola sepak hari ini, eloklah ia dipinda.” Semalam Arena Metro melaporkan hasrat Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memansuhkan Artikel 88 sekiranya beliau diberi mandat untuk menerajui FAM pada Kongres Pemilihan FAM pada Ahad ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) itu yang bakal bersaing merebut jawatan presiden bersama penyandang Sultan Ahmad Shah dan timbalan presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berpendapat Artikel 88 harus dimansuhkan bagi memastikan semua pihak diberi ruang untuk memberikan teguran dan pandangan bagi meningkatkan mutu bola sepak negara.

Artikel 88 peraturan 201-10-2014 FAM menyebut hanya Presiden dan Setiausaha Agung boleh membuat kenyataan. Sekiranya ada dalam kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu mendapatkan izin kongres terlebih dulu.
Bagaimanapun dalam mesyuarat EXCO FAM sebelum ini mereka sudah meluluskan cadangan untuk meminda Artikel 88 pada kongres Ahad ini namun pindaan itu dilihat tidak memberi kebebasan sepenuhnya kepada pegawai yang bernaung di bawah FAM untuk memberi sumbangan kepada media.

Beberapa individu berpengaruh dalam bola sepak sudah menjadi mangsa Artikel 88 itu termasuk Tunku Ismail, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim serta Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa.
“Bukan setakat Artikel 88, timbalan presiden pun tak sesuai ada dua. Kalau dulu buat perubahan ikut FIFA, seharusnya tak perlu ada Timbalan Presiden, kalau ada pun seorang saja. Ini sampai dua dan ia harus dilihat balik,” kata Raja Ahmad, bekas pengurus pasukan Perak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...