Friday, May 9, 2014

Ali buat Dollah marah

Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Ketiadaan penyerang utama Ali Ashfaq menjelang pertembungan dengan Sabah di Stadium Likas malam ini menyebabkan jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh ‘naik angin’.
Selepas mendapat pelepasan menyertai skuad kebangsaan Maldives hujung bulan lalu, sehingga semalam, pemain berusia 29 tahun itu masih belum muncul walaupun mengikut perjanjian awal, Persatuan Bolasepak Maldives (FAM) perlu membenarkan dia pulang menyertai PDRM hari ini.
“Saya sudah berhubung dengan pihak pengurusan pasukan Maldives dan mereka menyatakan tidak boleh melepaskan Ali.


Saya memang geram kerana mereka tidak mengikut perjanjian dipersetujui sebelum ini.

Memang kalau ikut undang-undang FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) Ali perlu mengutamakan skuad kebangsaan tapi apabila sehingga sebulan setengah (bersama skuad Maldives), ia sudah melebihi jangkaan PDRM,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Ali yang sudah meledak 13 gol dalam Liga Perdana musim ini menyertai skuad kebangsaan Maldives sebagai persediaan untuk mengharungi Piala Cabaran AFC bermula 19 Mei ini.
Walaupun terpaksa melupakan sentuhan Ali, Dollah tetap yakin anak buahnya mampu melebarkan rekod enam kemenangan berturut-turut sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga.
“Tanpa Ali bukan alasan untuk gagal beraksi baik menentang Sabah esok (hari ini).
Saya yakin dengan kemampuan pemain lain kerana masih mempunyai Bobby (Gonzales) dan Chad (Souza) di bahagian serangan.

“Memang sukar menentang Sabah di gelanggang mereka, apatah lagi semua pasukan akan beraksi lebih 100 peratus untuk meleburkan rekod PDRM.

Tapi berbekalkan semangat dan prestasi pemain ketika ini, saya yakin kami akan dapat keputusan positif,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...