Tuesday, May 13, 2014

Engels calon jurulatih Malaysia


SUmber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih Mozambique, Gert Engels menjadi calon pilihan untuk membimbing Harimau Malaya dan kini berada di ibu negara bagi me­ngadakan perbinca­ngan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas penolong jurulatih kelab Liga Jepun, Urawa Red Diamonds itu antara calon jurulatih yang berada dalam fasa akhir pemilihan FAM untuk mencari pengendali tetap skuad kebangsaan.



Nama jurulatih baharu Harimau Malaya dijangka diketahui selewat-lewatnya pada pertengahan Jun, tahun depan.

Menurut sumber FAM, pengalaman Engels yang sebelum ini banyak membimbing kelab di Jepun memberi sedikit kelebihan buat pengendali berusia 57 tahun itu ke­rana memahami serba sedikit budaya bola sepak Asia.

“FAM jelas berminat mahu menggunakan khidmat Engels sebagai jurulatih Harimau Malaya dan beliau pun kini difahamkan berada di Kuala Lumpur untuk sesi perbincangan.

“Kehadirannya di sini membuktikan FAM benar-benar memandang serius mahu menggunakan ­khidmat Engels, namun dalam masa yang sama mereka masih menilai dua lagi calon jurulatih luar yang turut disenarai pendek.

“Selain itu, dua jurulatih tempatan turut berada dalam radar FAM cuma kelebihan sedikit tampak kepada Engels yang telah pun berada di sini, segalanya bergantung kepada sesi perbincangan berkenaan," katanya.

Engels yang dilantik menjadi jurulatih Mozambique pada 2011 , namun pada 13 Jun 2013 beliau dipecat selepas pasukan kendaliannya dibelasah 6-1 oleh Guinea pada kelayakan Piala Dunia 2014.

Dalam enam perlawanan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2014, Engels hanya mampu membawa Mozambique mencatat keputusan seri tiga kali dan kalah tiga kali selain menduduki tangga ketiga, di belakang Mesir dan Guinea.

Pada zamannya sebagai pemain, Engels pernah beraksi buat kelab Jerman, Borussia Moenchengladbach.

Selain Engels, dua nama calon jurulatih luar yang turut dikaitkan menduduki kerusi panas Harimau Malaya itu adalah bekas jurulatih Sunderland dan Thailand, Peter Reid serta bekas pengurus Leeds United dan Aston Villa, David O' Leary.

Menurut sumber itu lagi, kemungkinan Datuk Ong Kim Swee untuk dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya sedikit tipis dan kemungkinan akan terus berperanan sebagai pengendali Harimau Muda A.

“Apa yang difahamkan, Kim Swee tidak berada dalam perancangan FAM dalam masa terdekat ini untuk dijadikan sebagai jurulatih Harimau Malaya kerana mahu beliau terus memberi penekanan kepada pembangunan skuad Harimau Muda A.

“FAM tidak mahu tergesa-gesa me­lantik Kim Swee selaku jurulatih Harimau Malaya kerana berpandangan lebih baik buat beliau mendapatkan seberapa banyak pengalaman," katanya.

Jurulatih PDRM dan bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh antara calon dalam kalangan jurulatih tempatan, selain Kim Swee.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...