Thursday, May 8, 2014

PBNP belum bercadang sekat penyokong JDT

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Sekali pun sedar perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 30 Mei ini berisiko untuk 'panas', pihak Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tidak memikirkan untuk menghalang penyokong lawan hadir ke Stadium Darul Makmur.

Walaupun tidak menolak idea melarang penyokong lawan hadir bagi mengelak ketegangan antara penyokong tercetus, Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim berkata, tindakan itu akan dibincangkan dengan Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.



Namun, Fuzzeimi mengakui buat masa ini mereka masih mengikut idea asal dengan memberikan hak kepada penyokong JDT untuk hadir tanpa sebarang masalah.

"Tidak, masih belum ada (melarang penyokong JDT untuk hadir) cadangan sebegitu kerana buat masa ini perlawanan antara Pahang dan JDT masih akan di­uruskan seperti mana perlawanan-perlawanan lain.

"Jika ada, segalanya akan diputuskan oleh Presiden sendiri dan mesti mendapatkan kebenaran daripada FAM jika kami hendak membuat langkah sedemikian rupa.

"Apa yang kami boleh lakukan adalah mempertingkatkan langkah keselamatan sambil mengharapkan kerjasama daripada penyokong yang hadir supaya tidak melakukan sebarang tindakan provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian sebagai meng­ulas cadangan melarang peminat JDT hadir ke Stadium Darul Makmur kelak kerana dibimbangi akan tercetus pergaduhan antara penyokong.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang meng­utarakan cadangan itu berkata, langkah itu akan dipertimbangkan memandangkan perseteruan antara penyokong JDT dan Pahang semakin menebal kebelakangan ini.

Melalui langkah itu, penyokong lawan yang hadir secara berkumpulan terutama yang dikenali sebagai Inter Johor Firm (IJF) tidak boleh ke stadium bagi mengelakkan pergaduhan dengan penyokong tuan rumah seperti yang berlaku ketika perlawanan Liga Super pada 7 Februari lalu.

Sekatan itu perlu dilakukan di hadapan pintu masuk stadium selain pengecaman penyokong lawan boleh dilakukan melalui pemakaian atau pengangkutan yang sama kerana kebanyakan daripada mereka akan hadir menggunakan bas atau berkonvoi menggunakan kereta.

Pada Isnin lalu, kira-kira 1,000 penyokong JDT berkumpul di perkarangan stadium dan mendesak pemain dan penyokong Pahang keluar. Seorang jurukamera sambilan RTM pula mendakwa disepak penyokong JDT.

Mengulas perkara yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertan­dingan Tempatan (JKPT), Datuk Seri Afandi Hamzah, masih menaruh harapan kepada kemampuan PBNP untuk mengawal ke­selamatan pada hari perlawanan.

"Saya masih meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak tuan rumah untuk mempertingkatkan langkah keselamatan menjelang perlawanan separuh akhir kedua walaupun saya tahu aksi kedua-dua pasukan ini pasti akan 'panas'.

"Berdasarkan pengalaman yang ada pada tuan rumah pada perlawanan-perlawanan sebelum ini, saya yakin Persatuan Bola­sepak Negeri Pahang (PBNP) tahu mengendalikan situasi sebegini.

"Langkah tidak membenarkan penyokong itu memang ada dibincangkan, tetapi JKPT masih mahu memberi peluang kepada penyokong lawan untuk hadir dan keselamatan dipertingkatkan," katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...