Thursday, May 8, 2014

Penyokong Harimau Selatan marah

Sumber: Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU - Kesediaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mempertimbangkan kemungkinan tidak membenarkan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) hadir pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara pasukan itu dan Pahang di Stadium Darul Makmur 30 Mei ini nyata tidak disambut baik oleh penyokong skuad Harimau Selatan.

Akaun Facebook tidak rasmi yang diwujudkan penyokong JDT menjadi medan mereka meluahkan rasa tidak puas hati, malah ada yang menganggap langkah yang kemungkinan diambil oleh FAM itu sebagai berat sebelah.

Mereka juga mendakwa apa sahaja tindak tanduk penyokong skuad Harimau Selatan itu ada sahaja yang tidak kena di mata FAM.



Tidak kurang juga yang menuding jari kepada pihak media yang didakwa hampir kesemuanya adalah boneka kepada FAM apabila menulis berita yang mereka dakwa berniat melaga-lagakan penyokong serta mempunyai unsur dengki untuk menjatuhkan mereka berbanding media asing yang galak memuji usaha dilakukan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

Antaranya, admin Facebook dengan akaun Johor Darul Takzim FC, laman page penyokong setia pasukan bola sepak negeri Johor memuat naik status berbunyi "Kami dilempar batu di Pahang FAM besarkan cerita ini tak? Kami dilempar batu di Perak FAM besarkan cerita ini tak? Penyokong Pahang terperangkap dua jam sudah mahu denda JDT main tanpa penyokong selama empat perlawanan berturut-turut. Jangan sampai orang benci anda wahai FAM. Kenapa perlu berbuat demikian terhadap JDT."

Facebook Johor Darul Takzim Cyber Fan Club, laman Kelab Peminat Bola Sepak Johor Bahru pula memuat naik gambar keratan akhbar tempatan yang melaporkan mengenai langkah yang akan diambil FAM dengan status "Terima Kasih FAMB" yang kemudiannya mengundang pelbagai komen yang nyata tidak menggembirakan selain kata-kata sinis dan kurang manis kepada FAM.

Utusan Malaysia semalam me­laporkan, FAM bersedia untuk memikirkan langkah tidak membenarkan penyokong JDT hadir pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara pasukan itu dan Pahang di Stadium Darul Makmur pada 30 Mei ini berikutan ketegangan antara penyokong sewaktu perlawanan pertama pada Isnin lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, mereka sedang mengkaji pelaksana­an idea berkenaan memandangkan pelbagai langkah sudah diambil sebelum ini, termasuk meningkatkan soal keselamatan ke tahap maksimum.

Aksi hebat JDT dan Pahang yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Isnin lalu dirosakkan oleh sikap kira-kira 1,000 penyokong pa­sukan tuan rumah yang berkumpul di luar perkarangan stadium selepas tamat perlawanan dan mendesak penyokong pelawat serta pemain Pahang keluar dari stadium.

Namun, tindakan pantas polis yang sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan berjaya me­ngawal keadaan dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...