Friday, May 23, 2014

Nam, Mehmet senjata Kedah

Sumber: Harian Metro
Alor Setar: Gandingan bahagian serangan Billy Osman Mehmet dengan Nam Kuang Woong menjadi pertaruhan ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe apabila berkunjung ke Stadium Paroi, untuk aksi Liga Perdana malam ini.
Gandingan Kuang Woong dari Korea dengan Mehmet buat pertama kali musim ini menjaringkan tiga gol ketika Kedah menewaskan PBAPP dari Pulau Pinang 7-2 dua minggu lalu dan sewaktu bertemu FELDA United, Mehmet pula tidak dapat beraksi kerana terpaksa menjalani hukuman gantung satu perlawanan.

Menurutnya, Kuang Woong sudah memahami corak permainan rakan sepasukan dan kehadiran semula penjaring terbanyak Mehmet pasti mencerahkan harapan Kedah untuk mengatasi Negeri Sembilan yang kini menduduki tempat keempat liga dengan kelebihan satu mata.

“Saya mahu semua pemain mengekalkan kesungguhan serta berusaha sehingga ke akhir perlawanan,” katanya.

Menurutnya, barisan pemain muda tidak mengecewakan apabila mereka yang dianggap pemain masa depan Kedah menunjukkan kematangan dan kepantasan mengucar-kacirkan pertahanan lawan.


“Ketua pasukan Baddrol Bakhtiar yang tidak beraksi dua perlawanan lalu kerana kecederaan kemungkinan besar beraksi kali ini, tapi saya hanya akan putuskan kesebelasan utama sejam sebelum perlawanan,” katanya.

Katanya, pengalaman Baddrol sudah pasti membantu pasukannya untuk mengejutkan Negeri Sembilan nanti.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...