PENYERANG Pahang, Dickson Nwakaeme (tengah) dihalang oleh dua pertahanan Selangor, Mohd. Rizal Fahmi (kanan) dan Stilianos Pantelidis (kiri) daripada membuat percubaan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. Selangor menang 1-0. - MINGGUANMAHATHIR ALI |
Sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR - Jaringan penyerang dari Indonesia, Andik Vermansah pada minit ke-64 memusnahkan rekod tanpa kalah Pahang di Stadium Darul Makmur, sekali gus membantu Selangor merampas kedudukan teratas Liga Super daripada skuad Tok Gajah dengan kemenangan 1-0 malam tadi.
Selangor, yang sebelum perlawanan menghuni tempat kedua, hanya ketinggalan kepada Pahang berdasarkan jumlah gol, kini mengumpul 31 mata manakala Pahang di anak tangga kedua dengan 28 mata.
Biarpun mendominasi perlawanan seawal perlawanan bermula, namun pasukan bimbingan jurulatih, Zainal Abidin Hassan itu gagal memanfaatkan peluang untuk sekurang-kurangnya mendapat gol penyamaan biarpun memiliki banyak peluang.
Selangor pula harus berterima kasih kepada penjaring terbanyaknya, Paulo Rangel, yang walaupun tidak menemui gawang namun masih mampu menyumbang gerakan untuk menghasilkan gol 19 minit selepas babak kedua berlangsung.
Dikelilingi pertahanan lawan di luar kotak penalti, penyerang dari Brazil itu menyepak leret kepada Andik yang membuat larian untuk menewaskan pertahanan tuan rumah, disusuli dengan rembatan yang menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd. Nasril Nourdin yang menggantikan Mohd. Khairul Azhan Khalid yang mengalami kecederaan.
Sementara itu di Stadium Shah Alam, Kelantan menewaskan PKNS 2-0 hasil jaringan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pada minit ke-43 dan Francis Forkey Doe dua minit sebelum perlawanan tamat.
Keputusan perlawanan mungkin berbeza jika penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat gagal menyelamatkan sepakan penalti Karlo Primorac pada minit ke-38.
Pengadil perlawanan, Teo Hee Lon memberikan sepakan penalti kepada PKNS selepas tonggak import mereka, Kim Dong Chen dijatuhkan Zairul Fitree Ishak dalam kotak penalti.
Khairul Fahmi bagaimanapun berjaya membaca gerakan sepakan penalti pemain dari Croatia itu untuk menepis bola di kiri gawang.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby meraih mata penuh apabila mengejutkan Sarawak menerusi kemenangan 3-2, apabila pemain import mereka Dilshod Sharofetdinov menyumbang dua gol pada minit ke-30 dan masa kecederaan separuh masa pertama.
Sarawak terlebih dahulu berada di depan dengan memperoleh jaringan seawal minit kelapan melalui S. Chanturu dan mereka menggandakan gol melalui pemain import Ryan Griffiths pada minit ke-22.
Gol kemenangan Sime Darby hadir enam minit sebelum perlawanan tamat menerusi jaringan Mohd. Syukur Saidin.
No comments:
Post a Comment