Thursday, May 8, 2014

Boateng sanjung semangat Red Warriors


Sumber: Utusan Malaysia

KOTA BHARU - Perwatakan Kelantan yang enggan mengalah selagi ada daya dan kesempatan untuk seri 3-3 setelah ketinggalan tiga gol ketika menentang Felda United kelmarin memberi gambaran bahawa pasukan itu seolah mendapat nafas baharu di bawah kendalian George Boateng.



Bekas pemain antarabangsa Belanda itu, yang boleh dianggap telah lulus ujian pertama, memuji anak-anak didiknya kerana tetap berjuang walaupun ketinggalan begitu jauh pada satu ketika.

"Saya puji pemain Kelantan kerana menunjukkan semangat juang yang cukup tinggi dan semangat itu akan menjadi platform yang membawa pasukan untuk terus bergerak ke depan.

"Dalam tugasan pertama saya ini, kita tidak menang, sekadar seri namun saya fikir perlawanan ini satu permulaan yang baik untuk saya sebagai seorang jurulatih," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Mengenai prestasi anak-anak di­diknya yang bagaikan hilang arah di awal babak permainan, bekas bintang Middlesbrough itu tidak menyalahkan mereka kerana kelemahan itu dikesan berpunca daripada percaturan yang tidak menjadi.

"Kami bermula dengan sangat teruk kerana percaturan tidak menjadi. Jadi kami tukar formasi kepada 4-4-2 dan saya lega kerana kami akhirnya berjaya menembusi benteng pihak lawan dan beroleh gol pertama," katanya.

Boateng dalam pada itu meluahkan keyakinan Kelantan mampu mempamerkan corak permainan berbeza ketika berkunjung ke tempat lawan dalam pertemuan kedua pada 31 Mei ini.

"Saya yakin kami boleh melangkah ke perlawanan akhir kerana dalam perlawanan sebentar tadi saya dapat melihat titik kelemahan Felda United serta titik kelemahan Kelantan sendiri. Titik kelemahan kami akan kami atasi sebaik mungkin," katanya.

Dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin, Kelantan pada mulanya ketinggalan 0-3 tetapi mempamerkan semangat juang luar biasa untuk bangkit dan menjaringkan tiga gol untuk mengikat The Settlers.

The Red Warriors bagaimanapun tetap menempah laluan sukar untuk aksi separuh akhir kedua di tempat lawan kerana perlu mencatat kemenangan sekurang-kurangnya 1-0 untuk layak ke perlawanan akhir.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...