Sumber: Harian Metro
Ipoh: Awang import, Abdulafees Abdulsalam muncul wira Perak apabila menyumbang dua gol untuk membantu Bos Gaurus menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Perak, malam tadi.
Kejayaan itu sekali gus membolehkan Perak keluar daripada menghuni dasar carta Liga Super.
Abdulafees melakukan sentuhan pemusnahnya pada setiap babak bagi membantu Perak melonjak ke tangga ke-11 dan kedudukan tercorot kini menjadi milik ATM yang dibimbing B Sathianathan.
Pemain import dari Nigeria itu memanfaatkan pergelutan di dalam kawasan penalti ATM untuk meletakkan Perak di depan pada m-38 sebelum mengukuhkan kedudukan tuan rumah apabila menguis masuk hantaran lintang pemain gantian, Mohd Hafiz Ramdan pada m-85.
Pemain ATM, Juan Manuel Arostegui merapatkan jurang melalui sepakan percuma pada minit ke-90 tetapi masih tidak cukup untuk menyelamatkan pasukannya.
Dalam perlawanan menarik dan mendebarkan yang turut disaksikan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain itu, kedua-dua pasukan mempamer aksi menarik tetapi kelebihan jelas memihak kepada tuan rumah.
Begitupun, Perak yang mendapat sentuhan Karl Heinz Weigang selaku penasihat teknikal menampilkan corak lebih berbeza di depan 10,000 penonton dan mereka banyak menguasai permainan tetapi beberapa peluang diperoleh gagal disudahkan.
Selepas ini, Perak akan berkunjung ke Stadium Sultan Mohammad IV untuk menentang Kelantan pada 17 Mei ini.
No comments:
Post a Comment