Sumber: Harian Metro
Sumber: Harian Metro
Kota Bharu: Kehadiran penyerang baru Prince Tagoe di Kelantan menjadi sia-sia apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terpaksa membatalkan kontrak bekas pemain skuad Piala Dunia Ghana itu lebih awal kerana gagal mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).
Masalah itu bagaikan sudah boleh dibaca apabila pemain berusia 28 tahun yang pernah beraksi bersama kelab Bundesliga 1899 Hoffenheim itu tidak diturunkan ketika Kelantan seri 3-3 dengan FELDA United pada aksi separuh akhir pertama Piala FA kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn Bhd (TRW) Kevin Ramalingam mendakwa kegagalan mereka mendapatkan ITC Tagoe yang didaftarkan pada tempoh perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga-M) April lalu kerana kesilapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menguruskan kes perpindahan pemain itu dengan Persekutuan Bolasepak Tunisia (Tunisia FA).
“Tunisia FA menolak permohonan ITC kami kerana kelab lama Tagoe (Club Africain) tidak membayar tiga bulan gaji kepadanya.
Sepatutnya kontraknya itu terbatal serta-merta dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) sudah dimaklumkan mengenai kes ini.
“Apabila Tunisia FA menolak permohonan ITC ini menerusi TMS (Sistem Pengurusan Perpindahan), FIFA masih mempunyai hak untuk mengeluarkan ITC sementara namun masalah timbul apabila FAM menerima penolakan Tunisia itu lalu kes itu sudah tiada dalam TMS.
Sepatutnya FAM membiarkan kes itu ditangguhkan.
“FIFA memaklumkan kepada kami kes itu sudah digugurkan dan mereka tidak boleh mengeluarkan ITC sementara.
Tapi kerana FAM ‘klik’ terima penolakan Tunsia FA, ia memberi kesan besar kepada kami,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tagoe yang didaftarkan untuk menggantikan Mohamed Ghaddar menuntut bayaran gaji tertunggak hampir RM1 juta daripada Club Africain.
Namun Kevin mengakui sukar untuk pemain itu mendapat ITC dan kontraknya bersama TRW bakal ditamatkan.
“Ada klausa dalam kontrak kami boleh membatalkannya jika tiada ITC, tapi bukan itu yang kami mahu kerana kami hendakkan dia beraksi dengan Kelantan.
“Melihat kepada situasi sekarang, saya fikir lebih kepada tak dapat,” katanya yang mengharapkan FAM membenarkan mereka mendaftarkan semula Obinha bagi mengisi tempat Tagoe.
No comments:
Post a Comment