SUmber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan berang dengan sikap sambil lewa pemainnya yang tidak menunjukkan komitmen 100 peratus hingga tewas 1-2 kepada Perak dan menyebabkan ATM kini terperosok di dasar Liga Super.
ATM yang pernah mendapat jolokan Manchester City Malaysia kini terdesak mencari penawar untuk keluar dari kelompok bawahan liga menjelang aksi ke-16 bertemu T-Team di halaman sendiri, Sabtu ini.
Bagi merealisasikan misi memungut tiga mata maksimum di depan penyokong sendiri, Sathianathan berjanji bakal melakukan rombakan besar-besaran selepas mengenal pasti beberapa pemain tidak menunjukkan minat untuk bersama pasukan.
“Di Ipoh tempoh hari, punca kekalahan kita kerana adanya pemain tidak bermain 100 peratus seolah-olah seperti penumpang di padang.
Bola yang sepatutnya boleh dikejar hanya diperhatikan saja.
“Sikap seumpama itu tidak bagus.
Saya akan ketepikan pemain yang tidak ikhlas itu pada perlawanan akan datang dan memberi peluang kepada yang lain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Pada aksi di Stadium Perak itu, pemain import dari Nigeria, Abdulafees Abdulsalam muncul wira skuad Bos Gaurus apabila menjaringkan kedua-dua gol tuan rumah pada minit ke-40 dan ke-85 manakala gol tunggal pasukan lawan hadir menerusi Juan Manuel Arostegui pada minit ke-90.
Kekalahan itu menolak ATM di kedudukan tercorot liga dengan 12 mata, dibezakan dua mata dengan T-Team yang menghuni tangga ke-11 liga.
Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan tercorot (tempat ke-11 dan 12) akan diturunkan ke saingan Liga Perdana musim depan dan jika kedudukan semasa kekal hingga ke penghujung saingan, slot dua kuota itu akan diisi ATM dan T-Team.
No comments:
Post a Comment