Friday, May 23, 2014

Tengku Abdullah lebih sesuai - Raja Ahmad

Sumber: Utusan Malaysia

PETALING JAYA - Jika mengharapkan perubahan berlaku dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), calon yang paling tepat untuk me­laksanakan tugas itu adalah Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sokongan itu disuarakan oleh bekas Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang melihat satu kerugian besar buat badan induk bola sepak negara itu jika para perwakilan menolak kepimpinan Tengku Abdullah yang dianggapnya kaya dengan pengalaman bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa.



Bukan mahu menidakkan ke­upayaan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim namun personaliti Tengku Abdullah seperti sikap merendah diri dan senang dibawa berbincang menjadi tambah nilai kepada kualiti kepimpinan yang ada, katanya.

"Kalau ditanya kepada orang lama, saya rasa Sultan Ahmad Shah boleh dikekalkan berdasarkan pe­ngalaman baginda namun jika untuk perubahan, saya tidak nampak calon lebih baik selain Tengku Abdullah.

"Beliau boleh dianggap sebagai salah seorang tokoh bola sepak di peringkat antarabangsa, rugi kalau kita tolak memandangkan buat masa sekarang beliau adalah Naib Presiden AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan salah seorang ahli jawatankuasa di dalam FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

"Saya begitu me­ngenali Tengku Abdullah secara peribadi dan tahu beliau ada kemampuan di sam­ping karakter tersendiri seperti penyabar, ketokohan di pentas antarabangsa, mempunyai ramai kenalan.

"Banyak jasa beliau kepada FAM terutama dalam aspek belakang tabir dan dalam hal ini, saya tahu perwakilan sudah matang untuk memilih siapa yang lebih layak menjadi presiden," katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran buku Bola Sepak, Pro dan Kontra karyanya semalam.

Dalam pemilihan FAM bagi penggal 2014-2018 sempena kong­res ke-50, penyandang, Sultan Ahmad Shah bakal dicabar oleh Tengku Abdullah dan Tunku Ismail bagi jawatan Presiden.

Berdasarkan jumlah pencalonan, Tengku Abdullah dilihat berada di depan setelah menerima 12 pencalonan sementara Sultan Ahmad Shah sekadar lima pencalonan sementara Tunku Ismail, tiga pencalonan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...