HARIMAU Muda meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan Geylang United FC 2-0 sekali gus melonjak ke tangga kedua dalam saingan Liga Singapura (Liga-S) di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.
Walaupun kemenangan itu memastikan skuad bimbingan Ong Kim Swee mengumpul 23 mata menyamai pungutan mata Brunei DPMM FC, namun Harimau Muda terpaksa akur di tangga kedua selepas dibezakan dengan jaringan gol yang memihak kelab dari Brunei itu menguasai persada Liga-S.
“Kami harus menang dengan jaringan lebih besar. Tapi selepas mendahului 1-0 pemain bermain sambil lewa dan hampir menerima padah hasil serang balas lawan. Ia tak harus berlaku jika pertahanan lebih berwaspada,” kata Kim Swee.
Kembalinya empat tonggak utama Fadhli Shas-Mahali Jusali-Wan Zack Haikal Wan Nor-Ahmad Hazwan Bakri dalam kesebelasan utama Harimau Muda selepas bersama skuad Harimau Malaya tempoh hari nyata memberi kekuatan kepada skuad muda negara yang tampak menguasai perlawanan dan hampir mencipta jaringan seawal minit ke-16 apabila bola hantaran Wan Zack Haikal gagal disudahi A Thamil Arasu yang sekadar menyepak bola sipi dari gawang gol Geylang United FC.
Ketika aksi berbaki tiga minit ditamatkan pada babak pertama, Wan Zack Haikal memastikan Harimau Muda selesa dengan jaringan 1-0 apabila bijak mengelirukan pertahanan Geylang United sebelum melepaskan bola rembatan deras dari jarak 25 meter menewaskan Yazid Yasin.
Selepas rehat, pemain gantian D Saarvindran memastikan tiga mata milik Harimau Muda selepas menjaringkan gol pada minit ke-81 apabila bijak mencari ruang kosong sebelum merembat bola leret dari jarak 30 meter tepat ke sudut kanan pintu gol Geylang United FC sehingga sukar buat Yazid menyelamat bola dari menerjah jaring.
No comments:
Post a Comment