Friday, May 18, 2012

'Orang lama' Sime Darby tidak gentar



BANGI - Jika tidak kejayaan Sime Darby mara ke perlawanan akhir Piala FA, mungkin ramai tidak mengenali nama Redzuan Harun, seorang penjaga gol berpengalaman yang sudah berusia 34 tahun.

Mula bermain bola sepak secara profesional mulai tahun 2003 bersama Proton FC selepas tamat belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), dia juga pernah beraksi dengan Felda United sebelum menyertai Sime Darby pada tahun 2010.

Jika hendak dibandingkan dengan barisan pemain Kelantan, mungkin nama Redzuan agak kecil walaupun sudah bermain 10 tahun di persada bola sepak tempatan tetapi itu tidak langsung mengganggu keyakinannya yang bersedia menghampakan jentera serangan The Red Warriors.


''Sampai sekarang, saya seolah-olah macam tidak percaya yang saya akan bermain dalam perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu ini.

''Ini merupakan kejayaan paling bermakna dalam karier saya dan kalau boleh saya akhiri dengan menjulang kejuaraan Piala FA, sesuatu yang saya amat mahukan setelah lama beraksi dalam bola sepak," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Padang Pusat Latihan Agrobank, semalam.

Menurutnya, tiada sebarang perasaan gentar terhadap jentera serangan Kelantan walaupun ditunjangi penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan beberapa pemain lain seperti Mohammed Ghaddar, Mohd. Badhri Mohd. Radzi atau Mohd. Nor Farhan Muhammad.

''Tidak perlu rasa takut, mereka juga pemain bola seperti saya, ada kelemahan tertentu. Apa yang mustahak, saya mahu berada di tahap terbaik pada hari perlawanan itu nanti dan bersedia menyekat percubaan mereka.

''Malahan, tiada tekanan di pihak kami dan akan cuba menyaingi Kelantan kerana ramai tahu mereka dalah pasukan pilihan," katanya.

Seorang lagi orang lama, Es Lizuan Zahid Amir yang akan memikul tugasan ketua pasukan menggantikan Kamarul Afiq Kamaruddin ekoran digantung satu perlawanan, berhasrat mahu menghadiahkan trofi Piala FA kepada isterinya jika berjaya mengalahkan Kelantan.

''Siapa kata tidak mahu menang apabila sudah mara sejauh ini, seandainya menang, saya berhasrat menghadiahkan kejayaan ini kepada isteri saya, Juhainah Che Johari yang hari lahirnya jatuh pada 2 Mei lepas.

''Dia telah menyokong karier saya selama ini, jadi ini mungkin hadiah paling bermakna buatnya jika saya menjulang trofi Piala FA selaku ketua pasukan,"katanya.

Bermain di barisan pertahanan, Es Lizuan juga pernah bermain dengan Sabah, Telekom Melaka dan KL Plus sebelum berhijrah ke Sime Darby pada tahun 2011.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...