Thursday, May 17, 2012

Usah perlekeh lawan: Fahmi


Harian Metro

KEMAMPUAN pasukan berstatus kelab, Sime Darby FC melangkah ke final Piala FA bertemu Kelantan mencetuskan suasana luar biasa sekali gus timbul teka-teki apakah kekuatan sebenar pasukan yang beraksi di Liga Perdana itu.


Perkara sama turut bermain di kotak fikiran penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjelang final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.




“Bila dapat melangkah ke final dan berjaya mengharungi semua halangan, bermakna ada sesuatu yang istimewa mengenai Sime Darby,” katanya ketika ditemui selepas diperkenalkan sebagai duta jenama makanan ringan, Mister Potato bersama-sama Mohd Safee Sali serta bintang muda, Muhamad Nazmi Faiz Mansor.



Justeru, penjaga gol skuad negara itu menuntut rakan sepasukan supaya mengekang ancaman lawan mereka itu jika mahu memenuhi impian menjulang Piala FA.




“Kami tidak boleh memandang rendah kemampuan Sime Darby kerana apa saja boleh berlaku pada perlawanan sebenar.




“Yang penting kami perlu terus melakukan persiapan rapi, kekal fokus dan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir,” katanya.


Final Piala FA kali ini dilihat lebih terarah kepada Kelantan yang pastinya mahu menebus kekecewaan pada dua final berturut-turut sebelum ini selepas tewas kepada Selangor, dua tahun lalu dan Terengganu, musim lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...