KEKALAHAN kepada Negeri Sembilan 1-3, kelmarin memberi petanda awal betapa gelaran Liga Super yang menjadi idaman Selangor musim ini semakin jauh daripada jangkauan.
Ini diakui sendiri jurulatih Selangor, Ifran bakti Abu Salim yang menganggap peluang mengejar pendahulu liga, LionsXII semakin tipis apabila ketinggalan 15 mata dengan hanya mengumpul 24 mata selepas 16 perlawanan untuk menduduki tangga keempat liga.
Baginya, anak buahnya perlu bangkit dalam baki 10 perlawanan terakhir untuk memburu kelompok tiga pasukan terbaik yang dianggap lebih realistik.
“Kami sudah terlepas Piala FA, untuk merebut kejuaraan liga bukan sesuatu yang mustahil tapi tipis, jurang kami jauh sangat. “Saya yakin Selangor boleh menamatkan saingan dalam kedudukan tiga pasukan teratas,” katanya.
Selangor yang menetapkan sasaran untuk merangkul kejuaraan terpaksa menelan hakikat betapa saingan merebut gelaran liga ketika ini lebih terarah kepada Lions XII dengan juara bertahan Kelantan yang menduduki tangga kedua biarpun wakil dari Singapura itu sudah beraksi 19 perlawanan berbanding pasukan lain.
Selangor merekod kekalahan keempat liga apabila rebah di Stadium Shah Alam selepas membenarkan Negeri Sembilan mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Mohd Firdaus Azizul dan Ahmad Shakir Ali.
Kesilapan pemain khususnya di bahagian pertahanan membolehkan Shakir meletakkan anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah selesa mendahului 3-0 pada separuh masa kedua sebelum Bosko Balaban menyumbat gol sagu hati pasukan tuan rumah di penghujung permainan.
“Saya kecewa dengan kekalahan semalam (kelmarin) apatah lagi kami beraksi di tempat sendiri. Kami membuat kesilapan apabila pemain Negeri Sembilan berjaya menghasilkan gol mudah.
“Saya tidak akan menghukum mana-mana pemain cuma saya tidak mahu perkara seumpama ini berulang jadi saya mungkin akan membuat sedikit perubahan selepas ini terutama di bahagian pertahanan,” tegas Irfan yang menuntut anak buahnya bangkit pada pertemuan dengan Perak di Ipoh, Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment