Pemain Kelantan, Antwi Dennis Agyare (kiri) mengelak terjahan pemain Terengganu pada perlawanan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammed IV, kelmarin. |
KOTA BHARU - Kelantan mara ke suku akhir Piala AFC selepas membenam Terengganu 3-2 kelmarin, namun jurulatihnya Bojan Hodak berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki bagi memastikan Red Warriors tidak tersekat pada suku akhir sahaja.
Pada perlawanan pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin, corak permainan menyerang Kelantan membolehkan pasukan tuan rumah meraih tiga gol, dengan dua daripadanya dijaringkan Mohd. Nor Farhan Muhammad manakala satu lagi gol oleh Rizal Fahmi Ab. Rosid.
Bagaimanapun segala-galanya berubah apabila jentera serangan Kelantan tiba-tiba longlai pada babak kedua, meskipun banyak peluang terhidang.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Terengganu yang kini dipimpin Peter James Butler untuk menjaringkan dua gol.
Dua gol pasukan pelawat, termasuk kad merah kepada pertahanan Kelantan, Nwaneri Obinna ternyata memberi tekanan kepada tuan rumah.
Kelantan berhempas pulas mempertahankan kelebihan jaringan sebelum akhirnya lega sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan.
Bojan mengakui kelekaan pemain menjadi punca kepada kemerosotan persembahan mereka, ditambah faktor kepenatan kerana baru sahaja beraksi pada perlawanan akhir Piala FA.
"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan pada separuh masa pertama tetapi tidak selepas itu. Para pemain saya meraikan kemenangan terlalu awal menyebabkan Terengganu berjaya menyumbat dua gol.
"Pemain juga kepenatan kerana baru sahaja melalui perlawanan Piala FA.
"Namun kami akhirnya berjaya melayakkan ke pusingan seterusnya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Dalam perlawanan tersebut, gol kelantan dijaringkan oleh Mohd. Nor Farhan pada minit kedua dan ke-18 dan Rizal Fahmi pada pada minit ke-45.
Terengganu pula memperolehi gol melalui Ismail Faruqi pada minit ke-55 dan Francis Forkey Doe pada minit ke-83.
Tujuh pasukan lain yang turut melayakkan diri ke peringkat suku akhir September depan adalah Chonburi FC (Thailand), Al Shorta (Syiria), Kuwait Sc (Kuwait), Al Ettifaq (Arab Saudi), Arema Indonesia (Indonesia), Arbil FC (Iraq) dan Al Wehdat (Jordan).
No comments:
Post a Comment