Wednesday, May 16, 2012

Selangor kembali temui rentak



KUALA LUMPUR - Selangor menemui rentak kemenangan apabila menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Shah Alam dalam perlawanan Liga Super, semalam.

Azidan Sarudin muncul wira Red Giants apabila meledak kedua-dua jaringan pada minit ke-36 dan ke-48, sementara gol tunggal Felda United dicipta bekas pemain Selangor, Farderin Kadir pada minit ke-45.

Di Stadium Hang Jebat, pasukan tercorot Kuala Lumpur mencipta kejutan apabila mengikat pendahulu liga, Lions XII tanpa jaringan.


Kehadiran jurulatih baru, Peter Butler gagal memberikan impak kepada Terengganu apabila seri 2-2 dengan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pemain Sarawak, Azizan Saperi terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan gol pertama pada minit ke-38. Namun Terengganu menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua hasil jaringan sendiri Shahran Abdul Samad pada minit ke-46.

Pelawat kembali mendahului melalui Khairul Azahar Eidros pada minit ke-52 tetapi Erison da Silva menyelamatkan Terengganu dengan gol penyamaan minit ke-67.

Negeri Sembilan meraih kemenangan ketiga berturut-turut dengan menjadikan Perak sebagai mangsa terbaru di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, 3-1.

Perak dahulu mendahului pada minit ke-6 hasil penalti Michal Kubala tetapi Jean-Emmanuel Effa Owona menyamakan kedudukan pada minit ke-24 sebelum dia menambah gol kedua pada minit ke-66.

Marian Farbak mengukuhkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-83.

Di Stadium Likas, T-Team mengutip tiga mata selepas mengecewakan Sabah 2-1 untuk memintas Perak dan Terengganu.

Kedah pula terus dihimpit prestasi tidak menentu apabila kalah 1-3 kepada PKNS di Stadium Darul Aman yang menyaksikan skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan jatuh ke tangga ketiga tercorot liga.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...