Wednesday, May 30, 2012

Suntikan semangat


Harian Metro

PERTEMUAN persahabatan skuad negara menentang Filipina Jumaat ini penting bukan saja bagi meneruskan rentak kemenangan pada saingan antarabangsa tapi memberi suntikan semangat apabila bakal bertemu seteru utama, Singapura pada aksi timbal balik 8 serta 12 Jun ini.

Ia ujian sebenar untuk anak buah Datuk K Rajagobal selepas kemenangan besar 6-0 ke atas Sri Lanka April lalu tidak memberi impak yang besar sebaliknya ada yang menganggap kemenangan itu sudah dijangka kerana bertemu lawan yang menduduki ranking lebih rendah berbanding skuad negara.


Dengan diperkuat beberapa pemain beraksi di Eropah, Filipina kini berwajah baru dan ia diakui pemain pertahanan negara, Mahali Jasuli yang membulat tekad untuk membantu skuad negara meraih kemenangan sekali gus menepis anggapan skuad negara hanya mampu menundukkan lawan lemah saja.

“Mereka pasukan yang meningkat naik. Dengan dibarisi beberapa pemain asing, kita sebenarnya tidak boleh memandang rendah keupayaan Filipina.

“Begitupun, saya rasa kita perlu mencatatkan kemenangan kerana selain kelebihan beraksi di tempat sendiri, kejayaan mengalahkan Filipina akan memberi suntikan semangat kepada setiap pemain untuk kekal konsisten apabila bertemu Singapura,” katanya.

Namun di sebalik mengharapkan kemenangan, Mahali turut mengaku perebutan dalam kesebelasan utama skuad negara cukup sengit selepas Rajagobal menyenaraikan 26 pemain terbaik untuk tiga aksi persahabatan berstatus A itu.

Antara yang membarisi skuad kali ini ialah kapten Pelita Jaya FC, Safee Sali dan tonggak Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha serta barisan pemain lain yang menjadi tonggak kejayaan negara pada Sukan Sea 2009 dan Piala AFF 2010.

Di benteng pertahanan pula, Mahali akur perlu bekerja keras untuk memikat hati Rajagobal selepas beberapa pemain terbaik, antaranya Mohd Sabre Mat Abu yang dipanggil semula selepas kali terakhir menyarung jersi negara di Piala AFF 2010.

“Pada masa ini, siapa yang mempamerkan aksi terbaik, mereka berpeluang cerah diturunkan,” katanya yang tidak beraksi ketika skuad negara seri 1-1 menentang Filipina, Februari lalu.

Aksi menentang Filipina di Stadium Shah Alam adalah aksi persahabatan antarabangsa ketiga tahun ini buat skuad negara yang dalam rangka persiapan mempertahankan Piala AFF penghujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...