Tuesday, May 8, 2012

FAM pantang ditegur: Karim


 

ABDUL KARIM


KUCHING: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya bersedia menerima teguran atau kritikan dalam usaha membangunkan sukan bola sepak negara.

Menteri Muda Pembangunan Belia, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sekiranya badan bola sepak negara itu tidak boleh ditegur, maka banyak pihak yang tidak akan berpuas hati.

“Saya tidak khuatir dengan pandangan presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) namun tindakan Jawatankuasa Tatatertib FAM perlu lebih beretika bagi mengelak mengeluarkan keputusan tidak munasabah, kejam, keterlaluan dan tidak membina untuk sukan bola sepak.

“Malah, presidennya sendiri harus bersedia menerima kritikan. Seseorang presiden badan seperti FAM bukannya ‘above the board’ dan tidak boleh ditegur,” demikian kata beliau kepada Utusan Borneo di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sultan Ahmad Shah agar para penyokong bola sepak meneliti dan memahami undang-undang FAM terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang menggesa persatuan bola sepak negeri keluar daripada badan induk bola sepak negara itu.

Sebelum ini beberapa pemimpin bola sepak sudah dihukum FAM gara-gara tindakan mereka mengkritik badan induk bola sepak negara itu, prestasi skuad kebangsaan serta pengadil selain memberi kenyataan yang mengkritik FAM kepada media.

Antaranya ialah timbalan presiden FAM sendiri, Tan Sri Anuar Musa, dua jurulatih Wan Jamak Wan Hassan dan B. Sathianathan, Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil serta Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang merupakan bekas naib presiden FAM.

Karim yang juga Menteri Muda Perumahan, menjelaskan Jawatankuasa Tatatertib FAM sepatutnya tidak lari, sebaliknya bertanggungjawab di atas tindakan mereka.

“Hukuman dikenakan terhadap FAS dan rakyat negeri ini, justeru kita berhak untuk menyuarakan rasa tidak puas hati,” ujarnya.

Menurut Karim lagi, ramai di kalangan rakannya sependapat bahawa FAM tidak sepatutnya bersikap terlalu keras terhadap FAS.

“Ramai sekali kawan-kawan yang sepandangan dengan saya malah ada yang menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) sebagai tanda sokongan,” jelasnya.

Dalam sidang media yang diadakan kelmarin, Presiden FAS, Datu Sudarsono Osman berkata pihaknya tetap menggunakan saluran diplomatik untuk menyelesaikan kemelut yang menimpa setelah didenda sejumlah RM75,500 oleh FAM.

Mengenai perlawanan Sarawak menentang Sabah tanpa penonton di Stadium Negeri pada Sabtu ini, Sudarsono berkata: “Kita tunggu hasil daripada rayuan FAS kepada FAM.
Jika rayuan ditolak maka Sarawak terpaksa mengharungi empat perlawanan di tempat sendiri tanpa penonton


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...