Thursday, May 17, 2012

Mat Zan diminta jawab dulu surat tunjuk sebab


Harian Metro

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh meminta Mat Zan Mat Aris menjawab surat tunjuk sebab kemerosotan prestasi skuad Penyu terlebih dulu sebelum berbincang mengenai permintaan jurulatih itu yang memohon gajinya dibayar sehingga November 2012.

“Saya enggan mengulas lebih lanjut permintaan Mat Zan berhubung soal gaji yang dituntut sehingga November depan. Apa yang penting dia perlu jawab surat itu sebelum 23 Mei ini mengenai punca kemerosotan prestasi Terengganu terutama dalam kancah Piala FA dan Liga Super.



“Selepas itu barulah keputusan boleh dibuat sama ada PBSNT memenuhi tuntutan jurulatih itu atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.

Bagaimanapun Che Mat yang sudah memegang jawatan presiden selama 14 tahun menyatakan Mat Zan boleh mengemukakan rayuan kepada PBSNT sekiranya tidak bersetuju dengan keputusan yang bakal dibuat pihaknya selepas tempoh surat tunjuk sebab itu berakhir.


Semalam, Mat Zan mengakui dia terkejut dan tidak berpuas hati dengan layanan PBSNT yang menghantar surat tunjuk sebab kepadanya selepas dia menuntut gaji sehingga November ini biarpun kontraknya berakhir November 2013.


Berikutan itu, Mat Zan yang menganggap dia masih jurulatih Terengganu walaupun direhatkan berkata tidak teragak-agak untuk membawa isu ini kepada pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi menyelesaikan kemelut berkenaan secara baik sebelum menjadi lebih parah.

Konflik antara Mat Zan dengan PBSNT dilihat semakin panas dan berpanjangan apabila dia menyatakan masih belum mendapat sebarang surat peletakan jawatan tetapi dalam masa sama Terengganu sudah mengikat Peter James Butler sebagai pengendali baru sehingga November 2013.


Mat Zan berkata, tambah mengelirukan surat tunjuk sebab bertarikh 14 Mei lalu yang dihantar PBSNT itu perlu dijawab selewat-lewatnya 23 Mei ini tetapi dalam masa sama persatuan berkenaan tidak mengeluarkan surat lanjutan tempoh rehat sehingga akhir bulan ini selain tidak memberitahu sebab-sebab dia direhatkan.

“Jika PBSNT tidak mahu lagi khidmat saya, buatlah dengan cara yang baik dan bukannya cara sebegini, seolah-olah habis madu sepah dibuang,” kata Mat Zan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...