PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, pihaknya belum membuat keputusan muktamad sama ada akan menyingkirkan terus ketua jurulatih Mat Zan Mat Aris (gambar) daripada membimbing skuad Penyu ataupun memanggil semula jurulatih itu selepas tempoh pengantungan tamat selama dua minggu.
“PBSNT belum lagi membuat keputusan terkini berhubung status Mat Zan sama ada dikekalkan ataupun digantikan dengan jurulatih lain. Kami akan berunding dengan Mat Zan dalam masa terdekat dan keputusan muktamad akan diputuskan dalam mesyuarat PBSNT selepas perbincangan dengan ketua jurulatih itu,” katanya.
Bagaimanapun, Che Mat membayangkan seandainya perbincangan itu menemui jalan penyelesaian terbaik, bekas pengendali KL Pos musim lalu itu mungkin masih ada jodoh untuk terus membimbing Terengganu namun ia bergantung kepada hasil mesyuarat PBSNT.
Khamis lalu, jurulatih berusia 54 tahun itu digantung selama dua minggu daripada mengendalikan Terengganu selepas gagal membawa pasukan mara ke pentas final Piala FA untuk mempertahankan trofi itu selepas dimalukan skuad Liga Perdana, Sime Darby.
Selepas Mat Zan direhatkan, tugas ketua jurulatih dipangku penolongnya, Khalid Mat Dahan sementara bekas penjaga gol Terengganu, Zuber Ibrahim bertindak sebagai pembantu jurulatih.
Mengenai keputusan seri 2-2 menentang Perak, Jumaat lalu, Che Mat pada dasarnya berpuas hati dengan tugasan pertama yang diamanahkan kepada Khalid biarpun pemangku ketua jurulatih itu berdepan dengan masalah kecederaan ramai pemain tonggak.
“Secara keseluruhan saya memuji taktikal yang diterapkan Khalid dan ini adalah permulaan yang baik,” kata Che Mat yang berharap Khalid mampu mengembalikan semula reputasi Terengganu sebagai gergasi Pantai Timur.
Sementara itu, Khalid berkata bukan tugas mudah untuk mempertahankan reputasi Terengganu yang begitu cemerlang musim lalu sehingga menjulang trofi Piala FA dan layak ke pentas final Piala Malaysia.
“Saya tidak tertekan memangku tugas ini biarpun ia amat mencabar untuk dipikul tapi saya akan buat yang terbaik untuk membawa Terengganu bersaing dalam kancah Liga dan Piala Malaysia meskipun tugasan ini hanya untuk dua minggu,” katanya.
No comments:
Post a Comment