KUALA LUMPUR - Sime Darby mahu menumpukan dua perlawanan Liga Perdana yang akan menjadi penentu kepada hala tuju pasukan itu untuk bersaing ke Liga Super musim depan sebelum memikirkan perlawanan akhir Piala FA.
Berdepan dua pencabar utama, Pahang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh empat hari, Sime Darby jelas tiada pilihan lain selain terpaksa merombak kesebelasan utama dalam kedua-dua perlawanan agar tidak terjejas ketika menghadapi Kelantan.
Jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria mengakui dia sering mengingatkan para pemainnya selepas sesi latihan bahawa mereka mempunyai perjuangan yang lebih penting pada Jumaat dan Isnin ini iaitu mencari enam mata untuk mencerahkan harapan menjuarai Liga Perdana.
''Fokus saya sekarang adalah pertemuan dengan Pahang dan ATM pada Sabtu ini, mengenai Piala FA, saya mahu lupakan dahulu.
''Layak ke perlawanan akhir Piala FA adalah satu bonus tetapi Liga Perdana adalah paling mustahak, dua perlawanan akan datang ini menjadi titik tolak sejauh mana sasaran kami untuk bersaing ke Liga Super musim depan tercapai atau sebaliknya.
''Kami tidak boleh keciciran sebarang mata jadi kami perlu menang dalam kedua-dua perlawanan ini, " katanya ketika dihubungi, semalam.
No comments:
Post a Comment