Friday, May 11, 2012

FAS pasang dua layar gergasi



KUCHING - Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menterjemahkan semangat 'agi idup agi ngelaban' apabila tidak mengalah walaupun didenda bermain di laman sendiri tanpa kehadiran penonton apabila membuat keputusan memasang layar gergasi di luar Stadium Negeri, di sini.

Presidennya, Sudarsonoo Osman berkata, FAS telah mengadakan perbincangan dengan polis berhubung hasrat berkenaan, semalam.

Menurutnya, usaha memasang layar gergasi di luar stadium akan dibuat pada perlawanan Liga Super menentang Sabah, esok.


Katanya, dua layar gergasi akan dipasang di tempat letak kereta di belakang Stadium Negeri bagi meneruskan momentum sokongan peminat yang semakin memuncak.

"FAS bersetuju mengambil inisiatif tersebut agar tidak mengecewakan penyokong setia bola sepak Sarawak.

"Saya berharap para penyokong dapat bersabar dan menerima keputusan tersebut dengan semangat kesukanan," katanya pada sidang akhbar, di sini malam tadi.

FAS dikenakan denda RM46,000 kerana kegagalan menyediakan kawalan keselamatan yang efektif ketika menentang Kelantan pada Liga Super di Stadium Negeri 7 April lalu.

Hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu meliputi kesalahan seperti gagal menyediakan kawalan keselamatan yang berkesan, penyokongnya menyerang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), membaling mercun dan botol minuman terhadap penyokong Kelantan serta penolong pengadil, Azman Ismail dan ketika sepakan sudut pasukan pelawat di belakang gol tuan rumah.

Lebih malang, Sarawak didenda beraksi dalam empat perlawanan tanpa kehadiran penyokong di Stadium Negeri membabitkan perlawanan menentang Sabah, Selangor, Johor dan Perak.

Hukuman itu membangkitkan kemarahan peminat yang mendesak FAS melepaskan keanggotaan dalam FAM namun badan bola sepak Sarawak itu bertindak profesional apabila enggan tunduk kepada tekanan berkenaan.

Sudarsonoo berkata, selepas denda empat perlawanan itu berakhir, FAS akan meningkatkan kerjasama dengan pihak polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) bagi memastikan setiap penonton tidak membawa sebarang objek ke dalam stadium.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...