Tuesday, May 8, 2012

Pendekatan FAS adalah wajar



Sarawak perlu ambil iktibar implikasi keluar dari FAM pada 1989: Awang Mahyan

KUCHING: Pendekatan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang menggunakan saluran diplomatik bagi menyelesaikan kemelut hukuman yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah wajar.

Legenda Ngap Sayot, Awang Mahyan Awang Mohamad berkata pendekatan FAS untuk cuba berunding dengan FAM bagi menyelesaikan isu denda sebanyak RM75,500 merupakan tindakan bijak bagi menjaga maruah Sarawak.

Bekas jurulatih kontoversi itu berkata jika FAS bertindak keluar dari FAM, maka Sarawak sudah pasti tidak akan dapat menyertai apa jua pertandingan anjuran badan induk bola sepak negara itu termasuk Sukan Malaysia (Sukma) sekalipun.

“Satu kerugian besar bagi kita dalam usaha menonjolkan pemain-pemain yang berbakat jika kita dipinggirkan dari pentas bola sepak negara.

“Malah, program pembangunan bola sepak yang dilaksanakan di peringkat akar umbi tidak akan lagi bermakna bagi kita,” katanya kepada Utusan Borneo semalam ketika diminta mengulas kenyataan Presiden FAS, Datu Sudarsono yang mahu berdiplomasi dengan FAM bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.

Awang Mahyan yang pernah menjulang nama Sarawak di persada bola sepak negara era 1980-an, berkata tindakan FAS adalah berlandaskan semangat perjuangan sejati dalam meningkatkan prestasi pasukan negeri serta mengangkat martabat bola sepak Sarawak.

Tegasnya, Sarawak pernah mencipta sejarah hitam dalam bola sepak negara apabila mengambil keputusan keluar daripada FAM pada 1989 ekoran beberapa insiden membabitkan pasukan Sarawak.

“Sejarah hitam kita berpisah dengan FAM pada 1989 telah memberikan pengajaran dan juga iktibar kepada semua pihak termasuk badan induk bola sepak negara (FAM).

“Namun kita terpaksa ‘rujuk’ setahun kemudian kerana tanpa pembabitan kita dalam kancah bola sepak negara adalah ibarat ‘si buta kehilangan tongkat’,” katanya.

Kelmarin, FAS mengeluarkan kenyataan ekoran desakan pelbagai pihak terutamanya penyokong-penyokong setia Sarawak yang mahu FAS keluar daripada FAM gara-gara keputusan drastik FAM mengenakan hukuman denda dengan jumlah besar kepada FAS baru-baru ini.

FAS mahu menyelesaikan kemelut dengan FAM itu secara rasional dengan mengadakan perbincangan menerusi saluran diplomatik antara pegawai-pegawai tertinggi FAS dan FAM.

Awang Mahyan berkata Sarawak perlu akur dengan kenyataan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah bahawa jika kita keluar daripada FAM, kita tidak dapat pergi ke mana-mana.

“Justeru, kita harap FAM dapat mempertimbangkan hukuman yang dikenakan kepada FAS agar kita sama-sama dapat memartabatkan bola sepak negara,” katanya.

Sementara itu, bekas naib presiden FAS, Datuk Paruwadi Musa berkata bahawa ahli-ahli exco FAS perlu bertanggungjawab atas insiden-insiden yang telah menimpa persatuan terbabit.

Katanya, memang sukar bagi kita membendung tingkah laku penonton tetapi pihak FAS harus bertanggungjawab dengan menjaga segala keselamatan semua pihak.

“Kita mahu FAS bertanggungjawab dan akur dengan hukuman yang telah dikenakan oleh FAM,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...