Wednesday, May 9, 2012

Syarat Mat Zan


Harian Metro

“SAYA boleh letak jawatan tapi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) perlu menghormati tuntutan gaji saya hingga Disember tahun ini biarpun kontrak saya dengan PBSNT tamat hujung 2013,” kata Mat Zan Mat Aris ketika ditanya kesediaannya melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Terengganu.

Mat Zan berkata, beliau tidak tertekan atau gusar dengan permintaan PBSNT itu tapi jurulatih berusia 54 tahun itu yang pernah mencatat sejarah membawa Terengganu menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 sudah bertolak ansur demi kebaikan pasukan serta desakan peminat yang mahukannya melepaskan jawatan.

“Saya sanggup berkorban melepaskan jawatan ini untuk kebaikan semua pihak tapi PBSNT juga perlu memenuhi permintaan saya memandangkan saya harus mengambil masa mencari pekerjaan lain selain ingin menenangkan fikiran,” katanya. Beliau sudah bersetuju secara lisan dengan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh untuk melepaskan jawatan yang disandangnya sejak Januari lalu namun belum menandatangani sebarang perjanjian biarpun sudah mengetahui khidmatnya tidak diperlukan lagi.



“Kelmarin saya bertemu Che Mat di Kuala Lumpur untuk berbincang kedudukan saya sama ada masih berminat membimbing Terengganu ataupun sebaliknya.


“Saya membayangkan masih berminat dengan jawatan itu tapi hasil perbincangan berkenaan lebih menjurus supaya saya meletak jawatan berdasarkan dokumen perjanjian yang dibawa PBSNT.



“Berikutan perbincangan itu, saya berasa tawar hati untuk menyambung semula tugasan selepas direhatkan sehingga 15 Mei ini dan dalam keadaan itu, saya seolah-olah tiada pilihan sekali gus saya bersetuju menerima permintaan PBSNT melepaskan jawatan berkuatkuasa 1 Jun ini tapi dengan syarat gaji saya sehingga Disember depan perlu dilangsaikan,” katanya.




Sebelum ini, Mat Zan dua kali didesak peminat supaya meletakkan jawatan berikutan prestasi tidak menentu Terengganu meskipun pasukan itu berada di tangga ketiga Liga Super dan layak ke separuh akhir Piala FA dan pusingan kedua Piala AFC.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...