Tuesday, May 8, 2012

Strategi Myanmar


Harian Metro

BAHANA terlepas hak penganjuran pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 22 (B-22) Jun ini bakal dirasai skuad negara apabila tuan rumah, Myanmar bersedia ‘menyeksa’ anak buah Ong Kim Swee dengan mengatur perlawanan pada sebelah petang bagi aksi Kumpulan G mereka di Yangon.

Malaysia bakal beraksi jam 3.15 petang (4.15 petang waktu Malaysia) menentang pasukan pilihan, Korea Selatan pada 23 Jun, Filipina (25 Jun), Taiwan (28 Jun), Vietnam (30 Jun) dan perlawanan terakhir dengan Myanmar jam 6.15 petang (3 Julai).

Tindakan tuan rumah itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyukarkan cabaran skuad muda negara yang dianggap mampu merebut salah satu daripada dua slot dari Kumpulan G untuk mara ke pusingan akhir tahun depan.



“Tuan rumah Myanmar menetapkan kami untuk beraksi hampir kesemua perlawanan pada jam 3.15 petang jadi ini akan memberikan masalah kepada pemain-pemain. Ini sudah menjadi hak tuan rumah jadi kami tidak boleh mempertikaikannya.


“Ini strategi mereka dan kalau anda lihat, Myanmar akan bermain jam 6.15 petang kerana mahu menarik ramai penonton mereka. Kami boleh mendapat kelebihan ini jika menjadi tuan rumah. Namun saya tidak mahu ini dijadikan alasan kerana saya akan mengubah waktu latihan bermula jam 4 petang selepas ini,” katanya ketika ditemui pada hari pertama kem latihan pusat skuad B-22 negara di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.



Sebelum ini Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuka peluang kepada semua pasukan bertanding untuk membida sebagai tuan rumah pusingan kelayakan namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menunjukkan sebarang minat untuk mengambil peluang itu.




Kejohanan yang julung kali diadakan itu dianggap penting kerana ia akan menentukan ranking negara pada pusingan kelayakan Olimpik selepas ini dan Kim Swee sudah mengatur persiapan rapi untuk memastikan Malaysia mampu melangkah lebih jauh.


“Daripada 33 pemain yang melaporkan diri hari ini (semalam) hanya Zubir Azmi tidak bersama pasukan kerana masih bersama Terengganu bagi perlawanan Piala AFC. Saya juga berdepan masalah kecederaan pemain seperti Mohd Amer Saiden, Gary Steven Robbart, Mohd Irfan Fazail dan Muhamad Nazmi Faiz Mansor. Namun saya harap mereka akan kembali pulih,” katanya.



Selepas berlatih selama 10 hari di FAM, skuad B-22 negara akan berkunjung ke Eropah bermula 17 Mei ini dengan mengadakan latihan dan perlawanan di Slovakia dan Hungary sebelum berangkat ke Guanyang untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad B-22 China pada 10 Jun.


Kemudian mereka akan kembali ke tanah air dan mengharungi perlawanan persiapan terakhir berdepan skuad B-22 Timor Leste sebelum berlepas ke Yangon, empat hari kemudian.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...