Friday, May 11, 2012

Pentas akhir Piala FA di Bukit Jalil


AZZUDDIN Ahmad (kiri) dan Hamidin Mohd. Amin (tiga dari kiri) memegang trofi baru bersama wakil pasukan Kelantan dan Sime Darby pada sidang akhbar sempena perlawanan akhir Piala FA di Wisma FAM, semalam.


KUALA LUMPUR - Bukan Stadium Shah Alam sebaliknya Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi venue rasmi perlawanan akhir Piala FA 2012 antara Sime Darby dan Kelantan.

Stadium Nasional kembali menjadi pilihan berikutan penangguhan kerja-kerja memperbaiki bumbung stadium ditangguhkan dan hanya akan bermula selepas perlawanan Piala FA 19 Mei ini.

Ia dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad selepas mesyuarat jawatankuasa pengelola pertandingan akhir Piala FA 2012 di Wisma FAM, semalam.


"Kerja pembaikan bumbung di Stadium Nasional belum bermula sebab ada masalah-masalah teknikal yang tidak boleh dielakkan.

"Sudah dua atau tiga kali kerja-kerja pembaikan ini ditangguhkan. Ia mungkin akan bermula selepas perlawanan akhir Piala FA dan akan ditutup sehingga Piala Suzuki AFF yang dijadualkan November depan.

"Jadi ada kemungkinan perlawanan Jelajah Asia yang melibatkan pertemuan skuad negara dengan Arsenal dan Manchester City akan diadakan di stadium lain seperti Stadium Shah Alam," kata Azzuddin.

Mengenai perlawanan akhir Piala FA 2012, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) dan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata sebanyak 80,000 tiket akan dijual.

"Harga tiket RM40 bagi semua tempat dan RM5 bagi kanak-kanak, kedua-dua pasukan diperuntukkan tiket sebanyak 30,000 dan ia akan dijual mulai Isnin ini.

"Saya juga ingin memaklumkan Sime Darby akan beraksi sebagai pasukan tuan rumah pada perlawanan akhir Piala FA itu nanti dan akan menyarung jersi merah serta oren manakala Kelantan sebagai pasukan pelawat akan 
menggunakan jersi putih dan merah," katanya.

Baki 20,000 tiket lagi akan dijual di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat, 18 Mei mulai 10 pagi hingga 7 petang dan pada hari perlawanan juga bermula 10 pagi.

Selain itu, Hamidin berkata pertandingan kali ini juga mencatat sejarah kerana trofi baru diperkenalkan menggantikan trofi lama yang dijulang kali terakhir oleh Terengganu, tahun lalu.

"Trofi baru ini berharga RM80,000 dan pasukan yang menang pada perlawanan Sabtu depan akan diberi satu trofi replika untuk disimpan," katanya.

Berukuran 0.63 meter dan mempunyai berat 4.5 kilogram, trofi baru Piala FA jauh lebih ringan berbanding trofi lama iaitu yang beratnya hampir 13 kilogram.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...