Monday, May 21, 2012

Fairuz rasa bersalah


Harian Metro

KEGAGALAN Sime Darby FC menggapai impian besar muncul kelab pertama menjuarai Piala FA kelmarin pastinya lebih dirasai pemain pertahanan, Mohd Fairuz Abdul Aziz yang cukup kecewa dengan kekalahan tipis 1-0 di tangan Kelantan pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.

Dia dipersalahkan pengadil, Suhaizi Shukri kerana menolak pemain import Kelantan, Obinna Nwaneri ketika perebutan bola di udara membolehkan pasukan lawan dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-58.


Peluang itu kemudiannya digunakan sebaik mungkin penyerang Kelantan, Muhammed Ghaddar untuk menyumbat gol kemenangan, sekali gus menafikan peluang wakil Liga Perdana itu mencipta kejutan.

“Saya cuma bersaing untuk merebut bola dan tidak menyangka saya dipersalahkan. Agak kecewa kerana kami tewas dengan gol sepakan penalti sedangkan kami memberikan tentangan kepada Kelantan.


“Ini pengalaman cukup berharga dan berharap kami dapat bangkit dalam saingan liga selepas ini,” katanya yang ditemui pemberita sebaik tamat perlawanan itu.

Sementara itu, kapten Sime Darby, Es Lizuan Zahid Amir berkata, kegagalan ini dipikul bersama semua pemain dan mereka tidak akan menuding jari kepada mana-mana pemain.

“Menang kalah kami akan hadapi bersama, semua pemain sudah memberikan aksi terbaik. Kami sudah membuktikan biarpun berdepan Kelantan yang mempunyai reputasi lebih baik, kami mampu memberikan tentangan.

“Siapa yang mahu kalah, kami memang kecewa tapi kami harus terus berusaha selepas ini,” katanya yang dipilih sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir itu.

1 comment:

  1. Serius..mutu pengadil mcm hampeh..
    Sepatutnye xperlu dpt penalti pun..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...