PEMAIN sayap Wan Zack Haikal Wan Noor yakin dapat mencapai sasaran peribadi meledak sekurang-kurangnya 10 gol dalam Liga Singapura (Liga-S) musim ini selepas membantu Harimau Muda A menewaskan Geylang United 2-0 kelmarin.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Jalan Besar itu, Wan Zack membuka tirai jaringan tiga minit sebelum babak pertama tamat menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti sebelum D Saarvindran menambah gol kedua pada minit ke-80.
Tiga mata yang diraih anak buah Ong Kim Swee itu meletakkan mereka di tangga kedua liga berkongsi 23 mata dengan pendahulu, Brunei DPMM yang tidak beraksi kelmarin.
Bagi Wan Zack, 21, dia nyata gembira dengan kejayaan itu yang dianggap mampu membakar semangat mereka untuk beraksi lebih konsisten dalam Liga-S.
“Memang gembira kerana dapat menewaskan Geylang semalam (kelmarin) namun masih banyak yang perlu kami perbaiki. Saya percaya gol ini akan memberi lebih keyakinan tapi saya tidak boleh terlalu berbangga sebaliknya harus meningkatkan prestasi,” katanya.
Dia yang mencuri perhatian dengan menyumbat dua gol pada perlawanan persahabatan antarabangsa ketika Harimau Malaya menewaskan Sri Lanka 6-0 minggu lalu masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya selepas 11 perlawanan liga.
“Setakat ini saya baru menjaringkan dua gol, jadi saya belum berpuas hati dengan prestasi sendiri kerana saya sasarkan untuk menjaringkan 10 gol pada musim ini,” kata Wan Zack.
No comments:
Post a Comment