Monday, May 7, 2012

FAS kekal bersama FAM



KUCHING - Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) semalam menafikan khabar angin bahawa mereka akan mengulangi semula insiden pada 1989 yang menyaksikan Sarawak membuat keputusan keluar dari naungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden FAS, Datuk Sudarsono Osman menegaskan, menarik diri daripada badan induk bola sepak negara itu bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah sedia ada, malah hanya akan merencatkan pembangunan sukan tersebut di negeri ini yang dilihat semakin berkembang.



Sebaliknya kata beliau, FAS akan menangani isu yang membelenggu persatuan itu dengan cara yang lebih matang termasuk memanfaatkan setiap saluran diplomatik yang ada.

"Saya ingin menasihatkan para penyokong supaya bertenang dan biar kami buat kerja kami untuk menyelesaikan isu-isu tersebut.

"FAS tidak akan mengambil pendekatan yang dicadangkan kerana kita percaya, jalan diplomatik merupakan pilihan lebih efektif dalam menyelesaikan masalah," katanya pada sidang akhbar khas mengenai perkara itu di sini, semalam. Akhbar semalam, melaporkan desakan penyokong setia skuad Ngap Sayot menerusi laman web petisyen.com supaya FAS meninggalkan FAM selepas tidak berpuas hati dengan tindakan badan induk tersebut menghukum mereka baru-baru ini.

Laman web yang dilancarkan sejak kelmarin itu menyiarkan ayat berbunyi 'Dengan hukuman FAM yang semakin bertambah ke atas FAS, kami minta FAS untuk keluar dari FAM. Ini adalah maruah bola sepak kita yang semakin tercalar. FAM perlu diajar dan belajar'.

FAS didenda RM75,000 atas dua kesalahan selain terpaksa beraksi tanpa penonton bagi empat perlawanan setelah dikatakan gagal menyediakan langkah keselamatan ketika Sarawak menentang Lions XII dan Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Negeri, di sini yang berlangsung pada 17 Mac dan 7 April lalu.

Mengulas lanjut, Sudarsono berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam masa terdekat supaya menyemak semula keputusan tersebut.

Beliau dalam pada itu turut menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris Jumaat lalu bahawa Timbalannya, Mohamad Abu Bakar Marzuki didenda RM8,000 serta tidak dibenarkan terlibat dengan sukan bola sepak selama lapan bulan kerana membantah keputusan yang dikeluarkan FAM menerusi media.

"Laporan itu tidak benar kerana beliau hanya dipanggil untuk membela diri di hadapan ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenai kenyataan yang dibuat kepada pihak media," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...