Monday, May 7, 2012

Felda United mahu tambah sengsara LionsXII


KETIADAAN Ahmad Fakri Sharani (tengah) menjejaskan jentera serangan Felda United apabila berdepan LionsXII esok.


KUALA LUMPUR - Mula mempamer kebangkitan pada pusingan kedua liga, Felda United mula mengorak langkah untuk meneruskan rentak cemerlang walaupun bakal berdepan ujian getir menentang pendahulu liga, LionsXII, esok.

Berharap dapat memungut sekurang-kurangnya satu mata ketika melayani kunjungan LionsXII di Stadium Hang Jebat, jurulatih Felda, E. Elaravasan mengakui fokusnya kini adalah mahu membawa pasukannya menjauhi kedudukan empat terbawah liga bagi terus bersaing dalam saingan Liga Super musim depan.



''Berdepan LionsXII, saya mahu kami meraih satu mata memandangkan kami mempunyai rekod baik di tempat sendiri.

''Sudah tiga perlawanan kami belum tewas di tempat sendiri jadi saya tidak mahu kami kalah biarpun tahu Lions bukan satu lawan yang mudah, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Walaupun LionsXII baru sahaja mengalami kekalahan 0-3 kepada juara bertahan, Kelantan, Elavarasan sama sekali tidak melihat ia sebagai satu kelebihan kerana menganggap lawan mempunyai kekuatan mental tersendiri.

''Sebelum ini mereka pernah mengalami kekalahan mengejut kepada PKNS 0-1 sebelum bangkit menang besar pada pertemuan kedua di tempat sendiri.

''Jadi, saya tidak fikir kekalahan kepada Kelantan tempoh hari akan menjejaskan mereka, tiada sebarang kelebihan buat kami.

''Tambahan kami akan turun tanpa khidmat dua pemain utama, Ahmad Fakri Saarani dan Hardi Jaafar kerana kecederaan, saya rasa bukan mudah buat kami jika mahu memperolehi sesuatu, " katanya.

Felda mencatat peningkatan apabila meraih tiga kemenangan dalam empat perlawanan terakhir dan kini berada di tempat ke-11 dengan 17 mata daripada 15 perlawanan.

Mengakui pasukannya berada dalam landasan yang betul untuk mengharungi baki perlawanan liga, Elavarasan berpendapat kehadiran dua pemain import baru dari Perancis banyak membantu rentak pasukan.

''Kehadiran dua pemain import (Mickael Antoine-Curier dan Eddy Viator) banyak memberi perbezaan kerana mereka cepat menyesuaikan diri dengan rentak pasukan.

''Sasaran utama di penghujung musim adalah berada di kedudukan kelima hingga ketujuh," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...