KUCHING: Hasrat Sarawak untuk melonjak ke tangga keenam Liga Super tidak kesampaian apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri menentang Kuala Lumpur di Melaka, malam kelmarin.
Beraksi di Stadium Hang Jebat Melaka, Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata aksi kurang bertenaga pemain pada separuh masa pertama menyebabkan Sarawak gagal membawa tiga mata berharga.
Alberts nyata kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya dalam perlawanan ‘boleh menang’ itu.
“Mereka (pemain Sarawak) sekali lagi tidak bermain seperti yang saya jangkakan pada separuh masa pertama.
“Kita mempunyai deretan peluang namun ketumpulan serangan gol gagal dihasilkan, malah mereka juga membenarkan pasukan tuan rumah mendahului pada separuh masa bertama,” katanya.
Kuala Lumpur menjaringkan gol pertama mnerusi sepakan penalti yang mudah disempurnakan Zakaria Charara pada minit ke-39.
Bermula separuh masa kedua, Sarawak melakukan banyak gerakan berbahaya dan membuahkan hasil pada minit ke-50 menerusi Joel Epalle selepas menerima hantaran Asri Chuchu.
Sarawak mungkin tidak dapat menurunkan K.Rajan pada perlawanan seterusnya menentang Sabah pada Sabtu ini (12 Mei) kerana cedera selepas bertembung dengan penjaga gol Kuala Lumpur.
Perlawanan di Stadium Negeri pada Sabtu ini bagaimanapun akan dilangsungkan dalam stadium kosong kerana Sarawak akan memulakan hukuman bermain tanpa penyokong di gelanggang sendiri untuk empat perlawanan.
No comments:
Post a Comment