PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim mahu rentak kemenangan yang dicatat anak-anak buahnya dalam perlawanan terakhir Liga Super dan persembahan baik yang dipamerkan dalam tempoh rehat kira-kira tiga minggu diteruskan Merah Kuning apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, malam ini.
Malah Irfan Bakti tidak mahu lagi prestasi tidak konsisten pemain Merah Kuning berterusan ketika saingan Liga Super yang semakin sengit sudah memasuki pusingan kedua.
“Saya mengharapkan kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut dapat dicapai selepas menewaskan Johor FC pada bulan lalu. Kami tidak pernah mencatatkan sepanjang musim ini dalam kancah Liga Super,” katanya yang berpuas hati dengan peningkatan dipamerkan pemainnya dalam tempoh rehat itu.
Antara pasukan yang ditewaskan Selangor dalam aksi persahabatan baru-baru ini adalah skuad kebangsaan Sri Lanka serta finalis Piala FA musim ini, Sime Darby FC.
“Bagaimanapun ia tetap perlawanan persahabatan dan tekanannya adalah berbeza. Ia tidak boleh dijadikan ukuran yang tepat walaupun keputusannya positif,” katanya.
Mengenai peluang untuk bergelar juara, Irfan Bakti berkata tumpuannya adalah untuk meletakkan Selangor berada di tempat ketiga terlebih dulu namun beliau tetap optimis peluang akan terbuka berikutan beberapa pertemuan getir pasukan di tangga teratas dalam baki perlawanan Liga Super.
Selangor yang kini berada di tangga keempat Liga Super dengan mengumpul 24 mata bakal menurunkan kesebelasan terbaik.
No comments:
Post a Comment