Sunday, May 6, 2012

Abu Bakar diperintah bela diri




FAM cuma berikan amaran, tiada denda mahupun pengantungan lapan bulan
KUCHING: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Mohamad Abu Bakar Marzuki diminta untuk membela diri oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.


Ketika dihubungi Utusan Borneo di Kuala Lumpur semalam, Abu Bakar berkata tiada sebarang tindakan denda yang dilakukan oleh FAM dan beliau cuma dipanggil untuk membela diri.



Walau bagaimanapun, katanya, beliau amat terkejut dengan laporan akhbar yang dimaklumkan oleh rakan-rakan media kelmarin (Jumaat) mengenai denda yang dikenakan oleh FAM.


“Saya berasa terkejut apabila dimaklumkan oleh rakan-rakan media (dari Kuching) bahawa saya telah dikenakan hukuman denda sebanyak RM8,000 dan dilarang untuk melibatkan diri dalam bola sepak selama lapan bulan.


“Saya benar-benar tidak tahu-menahu tentang hukuman berkenaan dan pihak FAM tidak pula memaklumkan kepada saya sebelum ini.


“Namun apabila saya hadir pada mesyuarat di Wisma FAM semalam (Sabtu) mereka telah minta saya membela diri,” demikian kata beliau yang berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi.


Abu Bakar berkata dengan keputusan itu, beliau berterima kasih kepada jawatankuasa tatatertib FAM dan turut merayu agar hukuman berat yang dikenakan kepada FAS dipertimbangkan.


Dalam laporan sebuah akhbar nasional/tempatan berbahasa Inggeris Jumaat lalu, Abu Bakar dikatakan telah dikenakan denda dan penggantungan oleh FAM susulan tindakan beliau menyelar keputusan FAM mengenakan denda terhadap FAS berjumlah RM75,500 selain perintah agar pasukan Sarawak bermain dalam stadium kosong di tempat sendiri untuk empat perlawanan, bermula dengan perlawanan menentang Sabah pada 12 Mei ini.


“Kami (FAS) akan menanggung kerugian besar dari segi kutipan tiket perlawanan jika empat perlawanan dilangsungkan tanpa penonton,” katanya sambil berharap rayuan mereka dipertimbangkan oleh FAM.


Mengenai desakan pelbagai pihak agar FAS keluar daripada FAM dan tidak menyertai sebarang kejohanan bola sepak anjuran badan induk bola sepak negara itu, Abu Bakar berkata: “Kita mempunyai saluran diplomatik dan kita berharap agar pihak FAM dapat mendengar rayuan kita (FAS),” katanya.


FAS dikenakan denda sebanyak RM29,500 oleh FAM ekoran insiden berlaku ketika perlawanan Liga Super antara Sarawak dan Lions XII di Stadium Negeri pada 17 Mac lalu.


FAS sekali lagi dihukum, kali ini dengan denda yang lebih berat RM46,000 gara-gara insiden rusuhan penonton pada perlawanan Sarawak dan Kelantan di Stadium Negeri pada 7 April lalu.


Denda hampir RM80,000 berikutan dua insiden amat merugikan FAS selain berdepan risiko kehilangan punca pendapatan dari segi kutipan tiket jika arahan bermain tanpa penonton dikekalkan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...