PERJALANAN ke final Piala FA pada Sabtu ini penuh berliku kepada pasukan berstatus kelab, Sime Darby FC (SDFC) apabila tumbang kepada dua pencabar utama dalam saingan Liga Perdana.
Rentak kemenangan diharap mampu diteruskan pengendalinya Ismail Zakaria tidak kesampaian apabila kecundang kepada pendahulu Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 1-2 kelmarin selepas tumpas kepada Pahang, 2-3 beberapa hari sebelum itu.
Situasi terbabit berbeza berbanding lawan mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan Kelantan seolah-olah sudah berada di puncak prestasi apabila terus mencatatkan kemenangan hingga jurulatihnya, Bojan Hodak berdepan kesukaran memilih kesebelasan utama pada Sabtu ini.
Namun Ismail menegaskan, ia tidak mengganggu persiapan memburu sejarah menjadi kelab pertama menjulang Piala FA apabila turun menentang pasukan pilihan itu yang turut memburu trofi tunggal yang belum berada dalam genggaman gergasi Pantai Timur itu.
“Saya sudah mendapat bayangan pemain untuk final dengan Patrick (Ronaldinho Wleh) bakal mengetuai jentera serangan. Situasi pasti berbeza dalam final dan saya lihat kekalahan ini tidak mengganggu persiapan kami,” kata Ismail yang sudah melakar sejarah membawa kelab pertama melangkah ke pentas final.
SDFC dilabel pembunuh gergasi dalam saingan Piala FA musim ini apabila menyingkirkan beberapa pasukan pilihan sejak pusingan pertama termasuk mengejutkan juara bertahan, Terengganu di separuh akhir.
Mengulas saingan Liga Perdana, Ismail yakin pasukannya masih mampu bersaing dengan ATM dan Pahang merebut satu slot automatik ke Liga Super musim depan.
No comments:
Post a Comment