Wednesday, May 16, 2012

Cabaran paling besar Red Warriors


Harian Metro

PENGURUS Kelantan, Azman Ibrahim menganggap final Piala FA 2012 sebagai cabaran paling besar Red Warriors pada percubaan ketiga membawa pulang piala itu ke negeri ini.

Beliau mengakui kegagalan dua kali pada 2009 dan 2011 cukup memeritkan kerana belum pernah menggenggam piala itu dalam kempen Liga M.



“Apabila Kelantan sekali lagi melangkah ke pentas final Piala FA 2012, kami tekad menggenggam piala itu kerana kegagalan dua kali cukup mengecewakan.

“Kami mahu menjadikan 2012 satu realiti menjuarai Piala FA yang terlepas pada 2009 dan 2011,” katanya di Kota Bharu, semalam.


Azman yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melihat pasukannya berada pada landasan terbaik merealisasikan impian itu tapi tidak menganggap mudah cabaran pasukan lawan berstatus kelab, Sime Darby FC di pentas final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.


Katanya, pemain Kelantan memulakan sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, semalam bagi memantapkan persiapan pasukan sebelum aksi final, Sabtu ini. “Kami mempunyai masa lima hari memperkuatkan pasukan dengan misi sebelum berdepan Sime Darby di final. Saya harap pemain sudah bersedia menggalas tanggungjawab dengan baik nanti.

“Harapan Kelantan cukup besar untuk menjuarai Piala FA dan saya yakin pasukan mampu mencapai kejayaan yang diimpikan pengurusan Kafa serta seluruh peminat bola sepak negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...