Thursday, May 17, 2012

Sarawak dapat 'lampu hijau'



PETALING JAYA - Sarawak mendapat berita gembira semalam apabila penyokong pasukan mereka dibenarkan kembali ke Stadium Negeri, Kuching pada 16 Jun ini.

Malah, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Mohammad Abu Bakar Marzuki terlepas hukuman berat apabila hanya diberikan amaran atas tuduhan mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selepas menjalani larangan bermain tanpa penonton kali pertama ketika menentang Sabah, 12 Mei lalu kerana keganasan penonton 7 April lalu, Si Bujang Senang juga mendapat penarikan balik hukuman itu bagi baki dua perlawanan asalkan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dapat memastikan insiden yang tidak diingini itu tidak berulang.


Malah, tingkah laku penyokong anak-anak buah Robert Alberts apabila Sarawak melayani Selangor di stadium itu dalam Liga Super, 16 Jun ini bakal menjadi kayu pengukur Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam menentukan sama ada larangan itu boleh ditarik balik atau dikekalkan bagi dua perlawanan berikutnya.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Razak berkata, larangan ke atas penonton ditarik balik secara bersyarat setelah mengkaji makluman dan pandangan pihak polis Sarawak.

Pun begitu, tegasnya, FAM tetap akan menghantar wakil bagi membuat tinjauan dan pemerhatian pada perlawanan dengan Selangor itu.

Jawatankuasa itu pada 27 April lalu, selain mendenda RM46,000, turut melarang Sarawak bermain dengan kehadiran penonton bagi empat perlawanan ekoran insiden penyokongnya menyerang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), membaling mercun dan botol minuman terhadap penyokong Kelantan serta penolong pengadil di Stadium Negeri, 7 April lalu.

"Amaran keras pula diberikan terhadap Mohammad Abu Bakar setelah jawatankuasa mengkaji pembelaannya dan mengingatkannya agar tidak mengulangi kenyataan di media (yang menyifatkan hukuman 27 April itu sebagai membunuh bola sepak Sarawak dan tidak setimpal dengan insiden yang bukannya berupa rusuhan besar-besaran)," kata Taufik.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa penarikan balik larangan ke atas penonton secara bersyarat dan berperingkat itu ada kaitannya dengan kemungkinan FAM bimbang dengan kejatuhan angka jualan tiket penonton di Stadium Negeri, Kuching yang sebelum ini didapati begitu menggalakkan.

"Sebelum itu lagi kita tahu kutipan tiket menghasilkan RM107,000 buat Sarawak setelah ditolak kos tetapi larangan bermain tanpa penonton dikenakan kerana kami mendapati perlawanan bola sepak di situ sudah tidak menepati erti keseronokan atau riadah apabila berlakunya insiden serangan ganas penonton," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...