BIARPUN hanya menjaringkan dua gol sepanjang 15 perlawanan Liga Super setakat ini, kapten Selangor, Amri Yahyah seakan mula menemui sentuhan apabila meledak gawang dalam kemenangan ke atas Sime Darby FC (2-1) dan Sri Lanka (2-0) ketika aksi persahabatan, minggu lalu.
Namun Amri, 31, enggan terlalu dibuai keyakinan mampu meneruskannya pada aksi ke-16 bertemu Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam malam esok, yang disifatkan jurulatih Irfan Bakti Abu Salim sebagai peluang terbaik menang berturut-turut buat kali pertama.
“Memang saya dapat semula sentuhan gol pada dua aksi persahabatan itu. Tapi itu tak bermakna jika saya gagal meneruskannya pada aksi sebenar. Jadi saya akan berusaha menghasilkan jaringan apabila bertemu Negeri Sembilan.
“Namun kami tetap perlu berhati-hati kerana ketika aksi pusingan pertama di Paroi (10 Januari lalu), kami ketinggalan dua gol sebelum bangkit mengikat 2-2. Negeri Sembilan dibarisi ramai pemain kebangsaan.
“Apa pun kami perlu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan di depan penyokong sendiri untuk meraih tiga mata penuh Selasa ini (esok),” kata Amri ketika dihubungi, semalam.
Tiada penggantungan mahupun masalah kecederaan melanda kem Selangor dan Amri berharap mereka dapat mengutip mata maksimum pada baki dua aksi bulan ini bertemu Perak di Ipoh Jumaat ini dan FELDA United di Shah Alam pada 15 Mei sebelum liga berehat sebulan.
“Selangor kini di tangga keempat, dua mata di belakang Terengganu dan tertinggal jauh berbanding Lions XII dan Kelantan. Kami tak boleh tercicir mata lagi dan perlu mengutip sembilan mata maksimum bulan ini,” tegas Amri.
No comments:
Post a Comment