Tuesday, May 8, 2012

Mat Zan pilih letak jawatan


MAT ZAN membuat keputusan melepaskan jawatannya sebagai jurulatih Terengganu berkuat kuasa 1 Jun depan. 

TEKA-TEKI berkenaan masa depan Mat Zan Mat Aris bersama Terengganu akhirnya terjawab apabila ketua jurulatih Skuad Penyu itu mengambil keputusan untuk meletak jawatan semalam.
Ia berkuat kuasa 1 Jun depan.
Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh selepas perbincangan dengan bekas jurulatih Pos Malaysia itu.
Terdahulu, PBSNT mengarahkan Mat Zan bercuti rehat selama dua minggu selepas menyaksikan Terengganu tewas kepada Sime Darby pada aksi separuh akhir Piala FA.
Selepas Mat Zan direhatkan, penolongnya, Mohd. Khalid Dahan dilantik sebagai pengendali sementara dan dibantu oleh bekas penjaga gol Terengganu, Zuber Ibrahim yang bertindak sebagai pembantu jurulatih.
Mengulas lebih lanjut, Che Mat berkata, keputusan itu diambil atas dasar persefahaman serta persetujuan antara kedua-dua pihak tersebut.
"PBSNT mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan Mat Zan kepada pasukan Terengganu selama ini.
"Mat Zan mengakui sedikit tertekan terutama selepas kegagalan layak ke final Piala FA.
"Justeru, Mat Zan percaya langkah yang diambilnya sebagai tepat demi mengembalikan prestasi cemerlang Terengganu," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebelum berlepas ke Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.
Tambah Che Mat, kini terdapat beberapa individu yang berminat untuk membimbing skuad Terengganu.
Begitupun katanya, keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat PBSNT dalam masa terdekat.
"Ada beberapa calon yang berminat untuk membimbing pasukan Terengganu.
"Mereka terdiri daripada jurulatih yang berasal dari Korea Selatan dan juga Singapura.
"Malah, bekas jurulatih kebangsaan juga ada menyatakan minat mereka untuk menjadi jurulatih Terengganu.
"Begitupun, kami akan bermesyuarat terlebih dahulu dan mengenal pasti latar belakang jurulatih tersebut sebelum memutuskan jurulatih baharu yang bakal menggantikan Mat Zan pada Jun depan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...