Tuesday, May 8, 2012

Satu mata cukup buat Kelantan


HODAK (dua dari kanan) bersalaman dengan rakan sejawatnya, Josef Harel selepas sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

KELANTAN hanya perlu mengutip satu mata sahaja apabila turun menentang Ayeyawady United dari Myanmar di Kota Bharu malam ini untuk melayakkan diri ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Bagaimanapun, pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak tidak mahu anak-anak buahnya sekadar turun untuk mencari satu mata tersebut, sebaliknya mahu terus mempamerkan aksi sebenar pasukan.
"Kita akan cuba menang dalam semua perlawanan. Satu mata sepatutnya sudah mencukupi tetapi saya fikir jika anda bermain untuk seri mungkin anda akan tewas. Sudah tentu kita bermain untuk menang malam esok (malam ini).
"Kita sudah beraksi dalam 16 perlawanan dan hanya tewas sekali. Kita berada dalam momentum yang sangat baik ketika ini, satu lagi kemenangan malam esok (malam ini) mungkin menjadikan kita lebih baik," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar semalam.
Mengulas mengenai persediaan pasukan Kelantan, Bojan berkata, ia tidak berjalan dengan begitu lancar apabila sesi latihan kelmarin terganggu ekoran hujan lebat selain faktor keletihan ekoran jadual mereka yang agak padat.
"Menentang Lions XII tempoh hari kita sudah memberikan segala-galanya dan perlawanan malam esok (malam ini) juga memerlukan kita memberikan yang terbaik sekali lagi," ujarnya.
Katanya, fokus Kelantan kini adalah untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super dan perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby FC pada 19 Mei ini dan tidak meletakkan sasaran yang tinggi untuk Piala AFC
"Mungkin kalau boleh saya katakan, pada dasarnya sasaran kita adalah Liga Super dan Piala FA. AFC bukan sasaran utama kerana kita menyertainya untuk mencari pengalaman, namun kita sudah berada di sini dan kita akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk terus meraih kemenangan," jelasnya.
Kelantan kini sedang menerajui Kumpulan H dengan mengumpul 10 mata sambil diekori Navibank Saigon dan Ayeyawady United yang berkongsi tujuh mata, manakala Arema FC di tangga tercorot dengan empat mata.
Sementara itu, jurulatih Ayeyawady United, Josef Harel  ternyata sudah dapat menggambarkan tentangan sengit yang bakal diterima pasukannya terutama Kelantan yang bakal disokong oleh puluhan ribu peminat mereka.

"Ia pastinya perlawanan yang sengit. Peluang kita di dalam Piala AFC ini cukup sempit tetapi kita bernasib baik kerana berjaya mendapat tujuh mata. Kita akan tengok apa yang berlaku malam esok (malam ini).
"Setiap perlawanan berbeza. Di Myanmar tempoh hari kita juga tidak menang dengan mudah.
"Kelantan adalah sebuah pasukan yang bagus kerana mereka mempunyai pemain yang berpengalaman tetapi kita akan cuba mendapatkan keputusan yang baik kali ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...