Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Ong Kim Swee menegaskan tiada jaminan buat setiap pemain untuk secara automatik berada dalam skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ke Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini, sekali gus memberi mesej jelas kepada pemain Harimau Muda A supaya meningkatkan prestasi jika tidak mahu disingkir.
Katanya, meskipun berada dalam skuad siri jelajah Eropah baru-baru ini, ia tidak bermakna mereka akan terus terpilih.
“Memang barisan pemain yang saya miliki ketika ini teras utama skuad ke Sukan Sea tapi itu tidak bermakna saya sudah puas hati kerana pintu masih terbuka untuk pemain lain,” katanya yang sentiasa memantau prestasi pemain dari semasa ke semasa.
Pemain luar yang kini menjadi tumpuannya membabitkan pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abd Halim, Zubir Azmi (pertahanan, Terengganu), K Rueben (ATM), S Sivanesan (Negeri Sembilan), Wan Zack Haikal Wan Noor (FC Ryukyu) dan Muhamad Nazmi Faiz Mansor (PKNS FC).
Bagaimanapun Kim Swee yang membimbing skuad negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011 membayangkan mungkin lebih ramai pemain luar bakal diserap dalam pasukannya.
Ini kerana beliau akan memantau prestasi pemain pasukan negeri dan kelab sepanjang kempen Piala Malaysia bermula 20 Ogos ini.
“Jika ada pemain pasukan negeri atau kelab yang mempamerkan permainan baik, saya akan panggil. Bukan hanya dalam perlawanan Piala Malaysia tapi saya juga akan melihat pemain pasukan Piala Presiden,” kata Kim Swee.
Skuad Harimau Muda A baru pulang dari Slovakia awal bulan ini bagi siri latihan dan perlawanan dengan kelab Eropah selama tiga bulan sebagai persiapan ke Sukan SEA.
Dalam tempoh itu juga pasukan itu turut bertanding di Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) di Kazan, Russia dan berjaya memenuhi sasaran layak suku akhir.
“Saya percaya pengalaman diperoleh sepanjang di Slovakia dan Russia berguna untuk mereka dalam persediaan ke Sukan SEA. Memang dari segi keputusan agak memuaskan tapi tidak ada gunanya kita mengatur perlawanan dengan pasukan tidak kuat untuk menang.
“Kita masih mempunyai masa memperbaiki kelemahan kerana misi di Sukan SEA penting. Kita tidak boleh lari daripada realiti pingat emas harus dipertahankan,” kata Kim Swee.
No comments:
Post a Comment