Friday, August 23, 2013

Harimau Muda C juara di Slovakia

Sumber: Utusan Malaysia

SEPANG - Skuad Harimau Muda C meraih ganjaran paling berbaloi kerana kesanggupan beraksi pada Ramadan dan mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan keluarga tersayang, apabila membawa pulang Piala Mintal Mintal 2013 dari Slovakia, semalam.

Skuad remaja negara bimbingan Aminuddin Hussin itu mencatat rekod tanpa kalah untuk menjuarai kejohanan selepas menewaskan tiga kelab masing-masing dari Czech, Slovenia dan Slovakia.

Selain itu, Muhd. Jafri Muhd. Firdaus Chew muncul penjaring terbanyak kejohanan.



Mereka mengalahkan Slavia Pravce dan NK Domzale 3-1 masing-masing pada 26 dan 27 Julai lalu dan melengkapkan kemenangan itu dengan berpesta gol termasuk hatrik Muhd. Jafri ketika membelasah MSK Zilina 6-0 dalam perlawanan akhir, sehari kemudian.

Tujuh perlawanan ujian di Slovakia dan Czech dari 20 dan 31 Julai selain 3 hingga 17 Ogos lalu, turut merakamkan empat lagi kemenangan, seri dua kali dan hanya kalah sekali ke atas MFK Tatran Liptovsky Mikulas, Banik Ostrava, MSK Zilina Bawah 17 dan 19 Tahun, FC Puchov, FC Dubnica dan Liptovsky Mikulas.

Kejayaan luar dugaan itu turut menjadi suntikan semangat menjelang misi antarabangsa yang lebih besar iaitu melepasi Kelayakan Kejohanan Bawah 19 Tahun Asia di Zhejiang, China dengan menentang tuan rumah, Jepun dan Macau dalam Kumpulan I dari 8 hingga 12 Oktober ini.

Kata Aminuddin: “Dengan hanya menggabungkan 16 pemain baharu, ini satu kejayaan memberangsangkan dan berikan petanda positif malah tanpa dua pemain Harimau Muda A - Arif Farhan dan Adam Norazli yang masih bersekolah. Namun kami berjaya cungkil permata baharu, Muhd. Jafri yang muncul penjaring terbanyak," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...