Monday, August 12, 2013

FAM tak akan beri muka pada penganjur

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Mulai tahun depan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan memberi muka kepada mana-mana penganjur yang gagal memenuhi peraturan ditetapkan badan induk bola sepak kebangsaan itu bagi mengelak imej negara tercalar.

Insiden pertukaran gelanggang di saat akhir sebelum perlawanan membabitkan Malaysia menentang FC Barcelona dilihat memberi impak negatif terhadap sukan bola sepak selain mencetuskan kekalutan pelbagai pihak yang terbabit apabila ia ditukar kurang 21 jam sebelum sepak mula yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.



Kelab gergasi Sepanyol itu dilaporkan enggan beraksi di stadium utama negara itu susulan permukaan padang yang tidak rata selain menyebabkan ada pemainnya mengalami kecederaan semasa sesi latihan rasmi sehari sebelum perlawanan.

“Dalam hal ini FAM tidak boleh dipersalahkan kerana kami hanya menyediakan khidmat dalam perkara yang membabitkan aspek teknikal seperti pengadil. Perancangan selebihnya adalah tanggungjawab pihak penganjur perlawanan. Namun kami sentiasa bersedia membantu kerana ia pasti akan turut membabitkan nama negara,” kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Akibat pertukaran gelanggang ke Stadium Shah Alam, timbul beberapa masalah lain seperti pemegang tiket VIP berharga RM688 terpaksa menonton perlawanan di tempat duduk biasa bersama orang ramai yang membeli tiket dengan harga lebih murah sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati pihak terbabit.

“Untuk mengelak perkara seperti ini berulang pada masa depan, FAM akan bertegas dengan mana-mana penganjur perlawanan terutamanya apabila membabitkan perkara berkaitan gelanggang termasuk pihak penganjur tidak boleh membuat perjanjian yang membelakangkan FAM.

“Malah, selepas ini kita akan memastikan kedatangan pasukan luar memberi manfaat kepada FAM seperti mengadakan satu sesi sekurang-kurangnya satu jam bersama jurulatih negara dan sebagainya,” katanya.

Mengenai kegagalan Barcelona untuk menurunkan bintang sensasi mereka, Lionel Messi, Hamidin menjelaskan sehingga kini (semalam) tiada laporan rasmi diterima mengenai kecederaan yang dialami kapten Argentina itu namun mendapat maklumat secara lisan menerusi pegawai FAM yang bertemu pegawai kelab berkenaan yang mendakwa pemain itu mengalami kecederaan hamstring.

“Saya difahamkan seandainya diturunkan, dia akan berisiko untuk mengalami kecederaan yang lebih teruk. Saya yakin (alasan) itu benar,” katanya.

Kegagalan pemain terbaik dunia sebanyak empat kali itu beraksi mengundang rasa kecewa kira-kira 40,000 penonton yang hadir sehingga mereka menjerit nama Messi sepanjang perlawanan dan mengharapkan agar dia diturunkan walaupun untuk beberapa minit.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...