Sumber: Harian Metro
Shah Alam: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mempunyai alasan tersendiri berikutan kegagalan Merah Kuning menyerlah pada tiga perlawanan awal Piala Malaysia.
Timbalan Presiden Datuk Mokhtar Ahmad mengandaikan pemain tidak dapat memberikan fokus dan tumpuan kerana gangguan luar.
“Pada saya tiada yang tidak kena dengan pasukan, cuma sekarang sama ada pemain mampu fokus atau tidak. Mungkin mereka memikirkan benda luar kerana sudah mengadakan perbincangan dengan pasukan lain.
“Itu yang merosakkan fokus mereka. Ia adalah proses biasa namun seharusnya tidak boleh diadakan lagi. Namun menjelang 3 September jika kami tidak memberi tawaran, mereka boleh mengadakan rundingan,” katanya semalam.
Tambahnya, ada juga pemain berasa sudah berada di penghujung karier dan ada yang mendapat tawaran lebih lumayan dari pasukan lain.
Mokhtar turut menafikan kehadiran pakar motivasi mengganggu persembahan pasukan.
“Kami tidak mempunyai pakar motivasi namun kalau ada apa salahnya kerana ia akan memberi manfaat kepada pasukan,” katanya.
Selangor kini menghuni tangga tercorot Kumpulan A dengan meraih satu mata dan akan menentang Sime Darby FC esok bagi menentukan sama ada layak ke suku akhir.
No comments:
Post a Comment