Sumber: Harian Metro
Kelana Jaya: Tumpuan peminat tempatan pasti terarah kepada benteng pertahanan dalam mengekang jentera serangan FC Barcelona yang terkenal dengan corak permainan pantas serta hantaran pendek dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu nanti.
Ramai menjangkakan jaringan besar akan dicatat kelab gergasi dunia itu yang tampil buat kali pertama di Kuala Lumpur seperti kejayaan mereka membelasah kelab terkemuka Brazil, Santos FC 8-0 dalam aksi persahabatan merebut Trofi Joan Gamper awal bulan ini.
Jadi aksi menentang Barcelona mahu dijadikan tonggak senior pertahanan negara, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak sebagai medan membuktikan persiapan mereka untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 berada dalam landasan tepat walaupun menerima kecaman dan kritikan pelbagai pihak sebelum ini.
“Moral kami memang tertekan kerana ramai yang membuat kritikan namun kami tetap akan memberikan aksi terbaik. Kami pergi ke Jepun bukan untuk bercuti tapi bekerja, orang yang tidak nampak sendiri apa kami jalani di sana boleh membuat pelbagai cerita, itu hak masing-masing tapi bagi saya ia pengalaman berguna,” kata tonggak pertahanan tengah Johor Darul Takzim itu.
Skuad negara berkunjung ke Tokyo sebelum ini dengan menentang tiga kelab Jepun, namun tewas semua perlawanan sehingga menimbulkan rasa kurang senang pemerhati bola sepak tempatan.
“Tiada yang meramalkan skuad negara akan menang (menentang Barcelona), Santos pun boleh tewas dengan 8-0, tapi kita akan cuba memberikan yang terbaik dan tidak akan mudah mengalah. Cuma saya berharap kami tidak dibolosi dengan terlalu banyak gol.
“Pada sesi latihan jurulatih (Datuk K Rajagobal) banyak memberikan penekanan kepada corak permainan padat, beliau tidak mahu kita terlalu berpecah kerana ia akan memberi ruang kepada lawan mencipta gerakan dan serangan berbahaya,” katanya.
Mengenai Barcelona, Aidil berkata, corak permainan kelab tu sememangnya laju dan susah untuk kehilangan bola namun mereka akan cuba menampilkan aksi terbaik.
Sementara itu seorang lagi pertahanan negara, Mohd Asraruddin Putra Omar menjelaskan semua bahagian perlu berfungsi seperti diarahkan kerana lawan mempunyai jentera serangan terbaik di dunia.
“Kami cuba boleh mengekang apa yang cuba mereka lakukan selain mengurangkan kesilapan,” kata pertahanan Selangor itu.
No comments:
Post a Comment